70 Tahun Kamil Ab. Majid

01/12/2019
by Admin ILHAM BOOKS

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih.


Allah yang mengajarkan dengan pena

Mengajar insan apa-apa yang mereka tidak tahu

Selawat dan salam kepada Rasulullah SAW

Rasul yang menyampaikan risalah

Menunaikan amanah


Amma ba‘du,

Buku ini ditulis atas permintaan generasi muda yang ingin mengetahui selok-belok kehidupanku; sebagai seorang ahli akademik, pendakwah, dan penulis. Pada awalnya, aku berasa teragak-agak untuk meneruskannya kerana aku sedar, siapalah aku … sekadar insan kerdil yang tidak punya apa-apa.

Tetapi memandangkan aku juga manusia ciptaan Allah, sebagai hamba dan khalifah Allah, maka aku merasakan setiap manusia meskipun sekerdil mana pun dia, merupakan ciptaan unik Allah SWT yang boleh dikongsi, apatah lagi insan seperti aku yang ketika buku ini ditulis, aku telah mencapai usia 67 tahun. Aku telah melalui pelbagai senang susah, jerih payah, masam manis dan pahit maung dalam kehidupan.

Aku anak ketiga kepada seorang tokoh yang bergelar “Tok Guru” hasil daripada perkongsian hidup dengan isteri kedua beliau. Sejak aku berusia lima tahun, kehidupanku menghadapi kecelaruan disebabkan penceraian ibu dan ayah. Adik yang bongsu, seorang perempuan, dibawa ibu kerana dia masih menyusu. Ketika itu adikku itu berusia kira-kira dua tahun. Manakala aku berserta dengan abang dan kakak, dipelihara oleh ayah dengan berlindung kasih di bawah payung kasih seorang ibu tiri. Ibu tiri kami seorang yang baik hati, persis malaikat. Dia tidak pernah memarahi kami apatah lagi mencubit, memukul, mendera kami sama ada dengan perbuatan atau kata-katanya.

Aku membesar sebagai anak Tok Guru yang sibuk dengan urusan kemasyarakatan. Maka, abang yang tualah yang menjadi ayah, ibu, abang di samping menjadi pengasuh kami. Untuk menikmati buah betik atau buah bacang pun, abang yang akan mengupasnya. Malah, ketika aku disunatkan oleh tok mudin, abang jugalah yang menguruskannya.

Dalam banyak hal, didikan daripada ayah banyak mempengaruhi kehidupanku. Ayah seorang yang kuat beragama, tegas, berdisiplin dan mempunyai visi yang jauh terhadap anak-anak. Ayah memastikan anak-anak mendapat didikan agama yang mencukupi. Namun begitu, setelah anak-anak mulai meningkat dewasa, ayah memberi kebebasan kepada anak-anaknya untuk memilih bidang pengajian.

Tetapi, untuk anak-anak perempuan, ayah agak konservatif. Mereka hanya mendapat pendidikan setakat sekolah agama di kampung sahaja. Hal ini kerana ayah berasa agak kurang selesa melihat budak-budak perempuan yang terlalu bebas. Apatah lagi pada zaman itu, pelajar perempuan sekolah terutamanya yang belajar di maktab-maktab perguruan dan sekolah kejururawatan diketahui bebas daripada pemantauan orang-orang tua mereka.

Setelah aku habis belajar di sekolah rendah, ayah pernah berniat untuk menghantar aku ke sekolah menengah aliran Inggeris atas cadangan guru besar. Namun, abang tidak bersetuju dengan cadangan ayah kerana tiga orang abangku yang lain bersekolah di Maahad Muhammadi. Disebabkan bantahan daripada abang, aku akhirnya menyambung pelajaran di sekolah agama. Akhirnya ayah membuat keputusan. Ayah kata, dia wajib berikan aku pendidikan agama. Ayah menambah lagi, jika aku sudah lulus daripada sekolah agama, aku bebas untuk meneruskan pelajaranku di mana-mana sahaja, terpulang sahaja kepada aku. Kalaulah aku memasuki Special Malay Class seperti yang dicadangkan oleh guru besar, mungkin aku tidak akan menjadi seorang “ustaz” seperti sekarang ini..

Beberapa tahun kemudian, aku mendapat biasiswa untuk menyambung pengajian ke Mesir, tempat yang sama abang dan kakak ipar berada. Aku menumpang kasih mereka berdua sehinggalah mereka kembali ke tanah air.

Aku berhasrat untuk mendapatkan diploma pendidikan apabila menamatkan pengajian di Mesir nanti. Tetapi, pada suatu hari aku menerima sepucuk surat daripada abang. Dia meminta aku pulang ke tanah air kerana ada jawatan yang sedang menanti aku di sebuah pusat pengajian tinggi.

Apabila aku mula melangkah keluar dari kampung dan bekerja, kerinduan akan kasih sayang ibu kandung akhirnya terubat jua. Ketika aku ada kelapangan pada hari minggu, aku akan berkunjung ke kediaman ibu. Namun begitu, ketika aku mula bekerja dan hidup berdikari, ayah tidak sempat merasa hasil usaha dan duit gajiku. Ayah terlebih dahulu dijemput oleh Penciptanya ketika aku melanjutkan pelajaran di Mesir.

Kisah-kisah yang berikutnya boleh dibaca dalam bahagian satu buku ini. Kebanyakan kisah dalam buku ini ialah kisah benar. Aku berharap kisah-kisah yang aku nukilkan dalam buku 70 Tahun Kamil Ab. Majid ini boleh dijadikan iktibar dan buat generasi muda, khususnya yang sedang berjuang di medan ilmu, intelektual dan dakwah. Aku mendoakan semoga Allah SWT merahmati aku, keluargaku, dan para pembaca sekalian.

MOHAMAD KAMIL HAJI AB. MAJID

---------

Untuk dapatkan buku ini, lihat di sini.