Abu Urwah: Legenda Tanpa Soroton

26/07/2020
by Admin ILHAM BOOKS

Ada sebuah ‘gejala’ yang sering menimpa ramai tokoh pahlawan negara, terutama tokoh-tokoh kemerdekaan. Gejala itu adalah; setelah mereka ‘pergi’, mereka sering disalah tafsir oleh orang terkemudian.

Sungguhpun tafsiran terhadapnya itu sudah benar, tetap ada kemungkinan pahlawan tersebut terancam dengan masalah yang lain; iaitu hanya sebahagian kecil kisah perjuangannya menjadi sorotan segelintir orang. Akhirnya, maklumat mengenai seseorang pahlawan itu, tidak membentuk sebuah pemahaman yang menyeluruh. Akhirnya, jadilah dia seorang pahlawan atau lagenda yang dipenuhi misteri.

Misteri kerana sumbangan dan perjuangannya tidak diketahui umum. Apalagi disalah fahami. Bahkan, bukan hanya misteri. Boleh jadi tokoh itu dianggap ibarat momokan yang mesti dijauhi. Semua ini kerana, tidak ada sahabat, ahli waris, bahkan anak murid yang tampil memaparkan testimoninya. Sehingga stigma dan kebencian terhadap pahlawan masih melekat kuat.

Atas dasar itulah, buku ini saya hadirkan di tangan para pembaca sekalian.

Abu Urwah, atau nama sebenarnya Saari Sungib, pada pandangan saya, termasuk nama yang cukup kontroversial dan sering disalah erti. Bagi sahabat dan penyokongnya, Saari Sungib bukan sekadar seorang ahli politik biasa. Beliau adalah salah satu watak utama dalam timeline sejarah politik tanah air. Pada batang tubuh Saari Sungib, tercatat sebuah proses metamorfosis seorang daie.

Metamorfosis Saari Sungib; daripada bayi berumur lima bulan dibawa berpindah dari Dengkil ke Kuala Lumpur, seorang anak peniaga kantin, seorang pelajar yang rajin, berdisiplin, kepada pemain hoki Selangor Bawah-12, Perak Bawah-18, Perak Bawah-20 dan Selangor Bawah-23, kepada antara generasi pelapis terbaik yang dihasilkan oleh Dasar Ekonomi Baru pasca tragedi berdarah 13 Mei 1969, seterusnya menjadi ideologue dan conceptualizer utama gerakan usrah, kepada pemimpin utama pergerakan dakwah Islam, kepada pemimpin masyarakat madani, kepada pengancam keselamatan (baca: kekuasaan) tirani dan menjadi ikon perjuangan menentang penahanan tanpa bicara. Kini, beliau memilih menjadi seorang muslim demokrat dan seorang tokoh silang budaya – interculturalist – yang terjun ke dalam politik praktis.

Metamorfosis ini adalah sebuah pendidikan politik yang agak zalim jika hanya dibiarkan tersimpan di celah-celah arkib portal-portal berita dan minda sahabat-sahabatnya. Ianya mesti dibukukan.

Menjadi sebuah paradoks, ketika mana kita mengeluh kekeringan pengisian tarbiah siasiah (pendidikan politik), pada masa yang sama kita enggan merakamkan memori perjuangan yang semakin sirna dalam ingatan kolektif kita.

Apapun alasannya yang pasti di luar sana ramai anak-anak muda yang dahagakan kisah-kisah nyata seperti ini. Pada zaman peralihan ini yang kita perlukan bukan sekadar kisah orang-orang pada zaman keemasan, namun kisah saksi yang hidup di beberapa zaman yang berlainan.

Apatah lagi, dalam zaman ini, ramai pemuda yang sedang mencari insight yang baru. Dalam kesamaran, mereka mencari inspirasi dalam mengintegrasikan dakwah ke dalam politik. Mereka berkelana dan mengembara sampai ke Indonesia, ke Turki, ke Palestin, ke Mesir. Mereka tercari-cari “mana sumber inspirasi”.

Namun, ternyata, sumber inspirasi itu ada di sini. Di tanah air. Di Selangor. Di Hulu Kelang. Itulah sebabnya buku Abu Urwah: Legenda Tanpa Sorotan ini hadir, untuk mengimbau kembali, detik-detik perjalanan penting Saari Sungib, yang kebetulan, sangat relevan dan selari dengan perjalanan tanah air, daripada negara ethocratic, pseudo-reform, menjadi sebuah negara Rahmah Mithali yang lebih demokratik, sejahtera dan berdaya saing.

Terima kasih tidak terhingga kepada semua pihak yang membantu dalam penerbitan buku ini. Terutama kepada YB Saari Sungib, berserta Makcik Aliza Jaafar, srikandi di sisinya yang memberi peluang agak jadualnya yang padat diganggu gugat demi sebuah pendidikan politik. Juga kepada Anfaal, Urwah, Muthanna, Zilal, Marwah, Muhallab dan Wasilah, anak-anak mereka berdua bersama enam orang menantu dan semua 22 orang cucu mereka.

Tidak lupa kepada keluarga tercinta; Dr Nurain, Nadia Solehah dan Laila Sofia, yang sanggup memberi ruang untuk saya menulis, tanda sokongan tidak berbelah bagi “Maafkanlah bila hati tak sempurna mencintaimu.”

Terima kasih juga Ustaz Feri Afridzal Ibrahim, Bekas Mas’ul Tulabi PKS Jakarta Barat, kini Ketua GARBI Jakarta yang telah memperkenalkan saya dengan Saari Sungib. Sungguh ironi sekali.

Tidak lupa kepada pihak ILHAM Books, selaku penerbit yang sudi menerbitkan karya sulung saya ini.

Jazakumullahu khairan kathira.

Selamat membaca.


Dr Hamdi Ibrahim, M.D.
Kuang, Selangor

-------

Untuk dapatkan buku ini, lihat di sini.