Antara Nas dan Maslahah

04/10/2018
by Admin ILHAM BOOKS

Segala puji kepada Allah, Tuhan sekalian alam, Selawat dan Salam ke atas Junjungan Mulia, Penutup kepada para RasulNya, Muhammad SAW, dan kepada keluarganya dan para Sahabat, golongan yang terpuji dan yang murni, dan juga kepada sesiapa yang menuruti mereka dengan ihsan hingga ke hari kiamat.

Saya telah meneliti karya yang ditulis oleh saudara kami, Dr. Ahmad Badri Abdullah, dan mendapati beliau telah memberikan sumbangan yang bermanfaat dalam rangka pengaplikasian disiplin maqasid al-shari’ah, sebagai sebuah kajian lanjutan berkaitan bidang ilmu maqasid dan pemikiran sistem serta pendekatannya yang bersifat komprehensif dalam menangani sebarang isu. Permasalahan mendesak pada pola pemikiran Muslim dalam era moden ialah pemikiran berbentuk terpisah-pisah, reduksionis serta sempit. Bentuk pemikiran tersebut melihat realiti hanya menerusi limitasi sudut pandang yang sempit, dan hanya menilai sebarang peristiwa melalui perbandingan luaran yang cetek. Pemikiran dalam bentuk ini menatijahkan kebekuan pendirian, dan pandangan serta tafsiran-tafsiran yang tidak kukuh asasnya, malah tidak sabit sama ada dari aspek rasional ataupun Syarak. Pemikiran sebegini sudah tersebar dan kukuh dalam minda sebahagian Muslim yang menyebabkan mereka lemah dalam membezakan antara elemen yang bersifat tetap (thawabit) dengan peruntukan yang berubah-ubah (mutaghairat), juga tidak mempunyai seni mengimbangi antara keduanya agar aspek yang kekal tidak dihapuskan manakala aspek yang berubah tidak dibekukan.

Saya turut mendapati, dewasa ini wujudnya krisis dalam budaya keintelektualan Islam secara umumnya,melainkan mereka yang mendapat rahmat dari Allah, iaitu tertutupnya pemikiran, keterasingan jiwa, taqlid fiqhiy dan kerikatan kepada warisan idea silam, tanpa mengambil kira keperluan semasa dan kepentingan untuk bersikap terbuka dalam hal-hal tersebut, namun tentunya dengan berpegang kuat terhadap manhaj, prinsip, asas, serta perkara-perkara yang telah jelas dalam ajaran agama (muhkamat). Krisis yang sama turut wujud pada golongan yang melampau dari pemikir pasca-modenisme dari sudut mempromosikan kecairan intelektual dan moral serta bolak-balik dalam unsur aqidah. Mereka menuruti golongan yang membongkarkan nilai akhlak, mengkontekstualkan peruntukan nas Syarak (melalui analisa mereka yang bersifat dangkal) serta merosakkan identiti Islam dan perkara-perkara yang telah ditetapkan Syarak (thawabit).

Penyelidik dalam karya ini telah menggunakan metodologi sistem sebagai salah satu solusi untuk menyelesaikan krisis ini dan ia merupakan pendekatan yang tepat. Jika diteliti Sunnatullah, ia telah menetapkan bahawa semua ciptaan dalam alam ini terdiri daripada keterkaitan antara makhluk-makhluk yang menghubungkan, mengikat dan mengimbangi antara kesemuanya. Namun seringkali para penyelidik mendapati kedua-dua aliran literalis dan pasca-moden, menanggapi isu secara secara terpisah-pisah tanpa melihat gambaran keseluruhan berserta elemen-elemen asas bagi sesebuah isu tersebut. Dalam perbahasan falsafah, masalah ini dinamakan sebagai persoalan gajah di dalam bilik. Beberapa orang telah diminta untuk menggambarkan sesuatu di dalam bilik gelap. Kata salah seorang daripada mereka: “Terdapat tali di dalam bilik tersebut yang tergantung dari siling”, dan yang lain berkata: “terdapat pokok di dalam bilik”, yang ketiga berkata: “terdapat hos yang terpacak di atas tanah” berkata keempat: “ terdapat dinding yang lebar di ruang tengah bilik”. Orang yang kelima menyalakan lilin sehingga kelima-lima mereka dapat melihat seekor gajah. Begitulah halnya para ahli falsafah cuba untuk mengenalpasti ‘gajah’, kerana dengan ‘menyalakan lilin’ seseorang dapat melihat gambaran keseluruhan. Begitulah cahaya fikiran memfasilitasi pemikiran komprehensif, yang dapat memrealisasikan perspektif yang lengkap walaupun sesebuah hakikat itu besar dan meliputi pelbagai bahagian, yang setiap bahagian itu mempunyai ciri-ciri yang tersendiri.

Oleh kerana pengkhususan telah menjadi mekanisme untuk pembelajaran, para penuntut ilmu biasanya akan pergi ke bidang pengkhususan yang mereka mahu. Namun keterikatan pada sesebuah bidang serta tidak membuka minda kepada idea-idea yang berguna daripada disiplin lain akan menjurus kepada pandangan yang terhad, yang mendatangkan lebih banyak kemudaratan berbanding kemanfaatan. Jika seorang penyelidik ingin menekuni bidang fiqh sehhingga mampu mengeluarkan fatwa dalam perkara-perkara baharu, tidak mamadai untuk beliau membataskan dirinya kepada perkara-perkara yang dinyatakan di dalam kitab-kitab dan hanya merujuk kepada pendapat para ulamak. Bahkan Imam Qarafi misalnya pernah berkata: “Kekal pada riwayat-riwayat (dari kitab) selama-lamanya adalah kecelaruan dalam beragama dan kejahilan kepada tujuan para ulamak dan golongan salaf terdahulu. Sesungguhnya terdapat hikmah hikmah yang besar daripada kata-kata ini. Ini keranan jika seseorang itu hanya berpada dengan pernyataan-pernyataan di dalam kitab-kitab, maka beliau hanya terhad kepada perspektif yang terpisah-pisah. Beliau mungkin menjadi pakar dalam bidang pengkhususan tertentu namun kabur terhadap mengani hal-hal yang lain. Namun fiqh semasa dalam perkara-perkara baharu menuntut seseorang faqih untuk berhadapan dengan ilmu-ilmu yang pelbagai serta mampu untuk memahaminya walaupun pada tahap seorang pemula.

Berkaitan dengan hal ini, kita sentiasa merujuk kepada sebuah pernyataan penting yag dikeluarkan oleh Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah dalam kitabnya I’lam al-Muwaqi’in iaitu: “Shari’ah itu dibina berasaskan di atas kebijaksanaan, kemsalaatan hamba di dunia dan di akhirat, keadilan keseluruhannya, rahmah keseluruhannya, hikmah keseluruhannya, dan maslahah keseluruhannya”. Ini semua merupakan maqasid al-kuliyyah sepertimana yang ditermakan oleh paa ulamak maqasid. Ibn al-Qayyim melengkapkan pernyataan beliau: “ Maka setiap masalah yang keluar dengan Shari’ah dari adil kepada kecurangan, daripada hikmah kepada kerosakan, daripada rahmah kepada yang bertentangan dengannya, daripada maslahah kepada mafsadah bukanlah daripada Shari’ah walaupun telah disertakan padanya beberapa aspek pentakwilan”. Inilah yang sering terjadi apabila golongan yang dilihat sebagai ahli dalam fiqh, mentakwilkan kezaliman, kedikdatoran, kekerasan, dan kerosakan sebagai selaras dengan Syarak seakan-akan Shari’ah itu menyokong kerosakan dan kekerasan. Kesemua ini tidak ada kaitan dengan Shari’ah yang bersifat tinggi nilainya dan relevan selama-lamanya serta menepati prinsip keadilan dan kemaslahatan apabila dinilai dari pemerhatian yang menyeluruh, lengkap dan tepat.

Semoga Allah memberi ganjaran kepada saudara kami dengan segala kebaikan atas amalan kebajikan ini dan semoga beliau akan meneruskan usaha untuk mengkaji, memerhati dan meneliti bidang-bidang ilmu. Semoga usaha ini akan mendatangkan manfaat dan membuka pelbagai keberkatan untuk beliau.

Assalamu’alaikum

Prof. Dr Jasser Auda

Presiden dan Pengasas Maqasid Institute Global

Untuk dapatkan buku ini, klik di sini.