DR MASZLEE: NAK “HAJI MUDA” ATAU “HAJI PENCEN”

03/07/2019
by Admin ILHAM BOOKS

Dalam satu kuliah subjek Ethics and Fiqh in Everyday Life , Dr. Maszlee Malik telah membincangkan tentang trend kahwin muda yang semakin menjadi pilihan mahasiswa ketika itu (tahun 2006) terutamanya dalam kalangan mahasiswa di UIAM. Secara prinsipnya kahwin muda tidak salah dari segi agama. Namun persoalannya kenapa ia menjadi keutamaan. Menurut beliau adalah lebih baik jika usia muda disibukkan dengan soal haji muda sebagai contohnya yang merupakan rukun Islam kelima.

Dalam masyarakat Islam di Malaysia, haji jarang dikaitkan dengan orang muda. Pernyataan yang biasa wujud berkaitan dengan haji ialah “dah nak dekat pencen nanti”, “anak dah habis belajar”, “bila dah tak banyak komitmen” dan sebagainya. Ada juga yang menyatakan usia mudanya belum puas untuk enjoy atau belum sampai seru. Lebih menarik lagi ada yang berkata, “takkan umur belum 40 tahun dah kena jadi ‘lebai’ pula.”

Dr. Maszlee berpandangan bahawa ini semua mentaliti yang salah. Apabila mind setting untuk menunaikan haji ditetapkan ketika usia tua, ia akan menyebabkan usia dan tenaga ketika usia muda dihabiskan dengan hal-hal yang remeh. Kita disibukkan dengan kereta pertama, rumah pertama, isteri pertama, anak pertama, percutian dan lain-lain lagi. Setelah separuh usia dihabiskan dengan hal-hal yang memenatkan, barulah haji menjadi tumpuan.

Usia muda adalah saat kita fit untuk menunaikan ibadah haji. Ibadah ini memerlukan kesabaran yang tinggi, tenaga yang banyak dan tubuh badan yang sihat. Pergerakan dari satu tempat ke satu tempat yang jauh, melontar jamrah, safa dan marwah serta cuaca yang panas menjadi cabaran yang bukan kepalang kalau haji dilakukan ketika usia tua. Tambah Dr Maszlee lagi bila nanti sudah pencen, penyakit pun mula bersusun-susun.

----

*Dipetik dan disusun semula dari Bab Pertama buku Travelog Haji Hadi. Buku ini boleh diperolehi di https://www.ilhambooks.com/travelog-haji-hadi/