Hak Asasi Manusia dan Persoalan Budaya

01/12/2019
by Admin ILHAM BOOKS

71 tahun lalu Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengikrarkan Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat ( Universal Declaration of Human Rights-UDHR ). Kendatipun begitu, konsep hak asasi manusia terus hangat diperdebatkan, malah wacana tersebut seringkali menjurus kepada pertembungan fahaman dan tafsiran agama dan budaya.

Namun, tidak dapat dimungkiri bahawa Perisytiharan tersebut telah meletakkan garis pengiktirafan hak dan darjat manusia sebagai karamah insaniyah secara universal. Agak kurang berasas kalangan yang menanggapinya sebagai cetusan idea yang bersumberkan tradisi Judeo-Kristian dan diakui bahawa dilihat sebagai terlalu bersifat individualistik dengan nilai-nilai kebebasan yang keterlaluan.

Justeru, konsep hak asasi manusia ini dinilai tidak sesuai dengan sesetengah amalan masyarakat tertentu dan sebagai suatu acuan Barat, ia harus ditolak kerana mewakili suatu bentuk pemaksaan nilai asing terhadap sesebuah budaya sedia ada.

Walaubagaimanapun, ia tidak patut difahami sebegitu kerana konsep hak asasi manusia turut mempunyai sumbernya di dalam budaya lain. Dalam konteks Islam, pandangan tentang martabat manusia telah dinyatakan, ‘Dan sesungguhnya telah kami muliakan anak-anak Adam’ (Al-Isra 17:70) ditambah pula dengan konsep al-fitrah atau sifat semula jadi agama Islam itu sendiri.

Kehormatan manusia adalah, intrinsik di dalam penciptaan manusia: ‘Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Islam); (sesuai) fitrah Allah disebabkan Dia telah menciptakan manusia menurut (fitrah) itu. Tidak ada perubahan pada ciptaan Allah itu, (itulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.’ (Al-Rum 30:30), menunjukkan bahawa Islam menerima konsep hak asasi manusia sebagai suatu yang inherent dan inalienable.

Pengakuan dan sokongan Islam untuk hak asasi manusia sebenarnya tidak berbeza dengan hak asasi dan teori hukum tabii dalam pemikiran Eropah.

Kontestasi konsep hak asasi manusia moden perlu melangkaui fahaman keunggulan kaum dan budaya. Nilai sejagat dan prinsip keadilan, kebebasan, cinta, dan kemanusiaan adalah melampaui dogma keunggulan dan prasangka terhadap sesama manusia.

Pasti ada nilai-nilai yang memberi inspirasi kepada persefahaman berbanding yang menebalkan dinding perbezaan. Dalam hal ini, Al-Qur'an memberikan pengesahan tegas tentang persamaan manusia: ‘Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai kaum dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan dan bangsanya).’ (Hujurat 49:13) dan selanjutnya dinyatakan di dalam satu lagi ayat, ‘Wahai orang- orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah- rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka.’ (Hujurat 49:11).

Sesebuah negara akan berkembang dengan menerima hakikat kepelbagaian budaya, memperkukuhkan hubungan dengan mempelajari perbezaan di samping meneguhkan nilai- nilai yang dikongsi bersama. Kepelbagaian budaya akan berkembang di dalam budaya sivik yang terbuka di mana wujudnya suasana politik yang membolehkan penyertaan dan interaksi bebas daripada pelbagai elemen berbeza di dalam masyarakat.

Tiada kumpulan harus berasa terpinggir, dinafikan atau ditekan. Kita mesti bersikap terbuka terhadap institusi, amalan dan standard yang terbukti berkesan di dalam menghalang ketidakadilan terhadap individu dan pihak minoriti. Proses dekolonialisasi di Asia Tenggara bukan semata-mata mengusir penjajah tetapi juga proses memperkasakan rakyat melalui pembebasan minda serta mengembalikan keyakinan diri.

Kemerdekaan tidak mungkin dicapai tanpa pemupukan semangat kebebasan serta penyemaian aspirasi untuk mencapai aturan masyarakat yang adil. Sejarah kejayaan di rantau ini bahkan telah dicapai melalui usaha untuk memberikan yang terbaik untuk rakyat, meluaskan kebebasan, menyebarluaskan kemakmuran, adil di dalam pengagihan kekayaan, serta kebertanggungjawaban di dalam ruang awam.

Pemberdayaan budaya dapat dicapai dengan membawa diri kita ke tahap yang setara dengan budaya lain yang lebih percaya diri. Ia melibatkan penemuan semula tentang apa yang telah dilupakan disebabkan kelemahan dan kerosakan yang berpanjangan; ia melibatkan pembaharuan dan penyuburan semula, serta mesti melibatkan sintesis dengan budaya lain.

Kebangkitan yang sejati tidak mungkin berlaku tanpa penemuan serta pengukuhan semula, dan pembaharuan komitmen universal dalam budaya kita, iaitu gagasan kehormatan manusia yang berasaskan spiritual, kesejahteraan moral dan kepekaan yang mulia. Maruah manusia mesti dipromosikan dalam masyarakat melalui keadilan, kebajikan dan belas kasihan.

Penemuan semula idea kehormatan manusia yang berakar daripada tradisi Asia dan tradisi kemanusiaan yang lain, akan memacu pertumbuhan masyarakat madani dan tadbir urus yang berperikemanusiaan. Jingoisme budaya yang menganggap keunggulan sesuatu budaya berbanding budaya yang lain harus ditolak.

Ini penting kerana contohnya masyarakat Asia, disebabkan obsesi xenofobia yang keterlaluan untuk mengecam sebahagian idea Barat, berkemungkinan turut sama mengecam nilai dan ideal fundamental mereka sendiri.

Ini adalah kerana dalam idea-idea yang didasarkan kepada tradisi kemanusiaan, bukan sahaja Timur mahupun Barat yang dapat melakukan tuntutan eksklusif kepada mereka kerana idea ini adalah bersifat sejagat.


ANWAR IBRAHIM

Ahli Parlimen Malaysia

-----

Untuk dapatkan buku ini, lihat di sini.