Islam Di Barat Muslim Di Timur​

18/08/2018
by Admin ILHAM BOOKS

Islam Di Barat Muslim Di Timur

Penerbitan buku ini merupakan salah satu usaha kerdil saya untuk menyumbang sesuatu dalam bentuk perkongsian pengalaman, ilmu dan maklumat sepanjang pengembaraan di serata dunia khususnya di bumi anbiya, bumi matahari terbit dan bumi Uncle Sam. Saya memilih catatan pengembaraan di destinasi ini kerana ia memberikan begitu banyak pengajaran dan iktibar sepanjang permusafiran. Peluang yang diberikan oleh Allah SWT untuk berkelana dan mengembara di bumi Haramain, al Quds, Ummu al Dunya, Jepun serta Amerika Syarikat ini merupakan antara saat yang paling mengujakan. Begitu banyak pengajaran dan teladan yang boleh dihayati dan diinsafi sepanjang pengembaraan ini. Terdapat beberapa peristiwa yang betul-betul tidak dirancang tetapi disusun oleh Allah begitu dirasakan. Kembara ilmu ini merupakan permusafiran spiritual saya dalam menghayati dan memaknai realiti kehidupan.

Idea untuk menghasilkan buku ini pada mulanya tercetus apabila saya mendapat banyak maklumbalas daripada pembaca blog zulkiflihasan.wordpress.com dan sahabat-sahabat seperjuangan untuk menerbitkan penulisan di dalam bentuk buku. Pada mulanya saya agak keberatan untuk menerbitkan buku ini kerana merasakan masih terlalu baru dan dhaif dalam dunia penulisan travelog. Setelah membaca banyak buku yang berbentuk travelog sama ada berbentuk hiburan ataupun dakwah, saya akhirnya mengambil keputusan untuk menerbitkan buku ini dengan harapan ianya boleh dijadikan panduan atau rujukan yang bermanfaat kepada masyarakat.

Isi kandungan buku ini terbit daripada penulisan yang telah dibuat sepanjang pengembaraan saya di bumi Haramain, Mesir dan Palestine, Jepun dan Amerika Syarikat termasuk pengalaman tidak dapat dilupakan ketika menziarahi Gaza, Palestine. Saya secara khusus memilih catatan pengalaman dan kembara ilmu di lima destinasi ini. Saya mengakui, di samping berkongsi catatan dan refleksi rihlah ilmiah ini, pengalaman selama lebih tiga tahun di bumi Eropah dan peluang bekerja di Dubai International Financial Centre, Dubai, Emiriyah Arab Bersatu juga serba sedikit banyak mempengaruhi pemikiran penulisan dalam buku ini. Namun, saya tidak memasukkan catatan ketika berada di United Kingdom dan pengembaraan di bumi Eropah serta pengalaman berada di dunia Arab khususnya negara Teluk dalam buku ini. Insha Allah di dalam buku seterusnya. Walau bagaimanapun, buku di tangan anda sekarang ini serba sedikit memberikan gambaran bahawa refleksi dan catatan ini adalah hasil pemerhatian mendalam saya menerusi pengembaraan dan rihlah ilmiah di serata dunia.

Catatan ini sebahagian besarnya adalah hasil daripada refleksi peribadi saya terhadap persekitaran, keadaan, suasana termasuk emosi dan perasaan semasa pengembaraan. Walaupun telah mengembara puluhan negara di dunia ini, saya secara khusus memilih memilih kota-kota ini iaitu Mekah-Madinah-Gaza-Kaherah-Rafah-Alexandria-Zagazig- Tokyo-Kyoto-Sendai-New York City-Chicago-Dallas-Boston-Indianapolis-Washington DC untuk perkongsian pengalaman kembara ilmu. Pengembaraan di kesemua destinasi ini memberikan begitu banyak pengalaman, ilmu pengetahuan dan pengajaran. Bukan itu sahaja, pengembaraan di Timur dan Barat ini memberikan pengalaman yang sangat bermakna kepada saya daripada pelbagai aspek kehidupan. Jelas menyaksikan bagaimana beberapa nilai Islam diamalkan di negara Barat dan Timur seperti Jepun dan Amerika Syarikat dan negara-negara majoriti umat Islam yang jauh meninggalkan nilai-nilai ini berbanding dunia Islam.

Saya meletakkan tema Rahmatan Lil ’Alamin dalam buku ini selaras dengan hasrat, visi dan misi saya untuk meneroka dan mengembara menyaksikan kebesaran Allah SWT di samping melihat sendiri ragam kehidupan manusia di dunia. Saya cuba untuk menjelmakan ruh kembara Rahmatan Lil ’Alamin’ ini menerusi dengan catatan dan refleksi saya sepanjang pengembaraan dan permusafiran yang menyaksikan terlalu banyak perkara yang boleh difahami melalui rihlah ilmiah. Ketinggian tamadun dan kehebatan teknologi yang dicapai pada hari ini, kesemuanya adalah menerusi sumbangan awal intelektual Islam. Dalam erti kata lain, Islam telah membawa rahmat ke seluruh dunia menerusi kegemilangan tamadun Islam satu waktu dulu. Ini diungkapkan sendiri oleh Abu Hasan Ali Al Nadwi dalam bukunya Kerugian Dunia Kerana Kemunduran Umat Islam. Saya banyak mempelajari makna kehidupan menerusi pemerhatian dan interaksi dengan pelbagai individu dari segenap lapisan masyarakat di serata dunia. Kepelbagaian budaya dan cara hidup serta gaya pemikiran merupakan antara aspek yang sangat penting untuk membentuk worldview atau pandangan alam seseorang. Worldview inilah yang akan menjadi asas kepada pembentukan idealisme atau fikrah seseorang.

Di antara pemerhatian yang sangat memberi kesan kepada jiwa saya ialah keadaan umat Islam di serata dunia. Betapa umat Islam yang masih ketinggalan dari pelbagai aspek termasuk dari aspek nilai dan etika. Saya berhasrat untuk berkongsi tentang perbezaan umat Islam di Timur Tengah dengan bukan Muslim di Jepun dan di Amerika Syarikat serta Eropah yang begitu ketara sekali. Saya sendiri merasakan bagaimana beberapa nilai Islam itu diamalkan di bumi matahari terbit dan di negara maju di Barat manakala menyaksikan prinsip-prinsip Islam itu diabaikan sebahagian besar umat Islam hatta di tanah suci Mekah dan Madinah. Ini bertepatan dengan kajian indeks keislaman yang dibuat terhadap 208 buah negara di dunia yang dijalankan oleh Professor Hossein Askari, Universiti George Washington, Amerika Syarikat. Kajian ini merumuskan bhawa negara Islam tidak mengamalkan nilai-nilai yang dituntut dalam Islam malahan negara majoriti bukan Muslim yang mengungguli carta negara yang mengamalkan nilai-nilai Islam.

Bagi mengekalkan keaslian penulisan selari dengan emosi dan cetusan rasa pada waktu itu, saya mengekalkan sebahagian besar nukilan yang dibuat semasa pengembaraan dan permusafiran. Penulisan ini adalah sebahagian daripada catatan yang di buat sepanjang pengembaraan sama ada semasa berada di dalam bas, kapal terbang, bilik penginapan, masjid, kedai, perpustakaan, taman, jalanan, stesen bas dan keretapi dan lapangan terbang. Apa yang lebih istimewa bagi saya ialah catatan pengalaman di bumi Haramain iaitu di Mekah dan Madinah sebahagian besarnya ditulis semasa berada di dalam Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi. Catatan yang dinukilkan dalam dua masjid suci dalam Islam ini sangat memberi kesan kepada jiwa saya. Bagi memastikan kualiti penulisan ini di samping menjamin keasliannya, saya telah menyunting dan membuat penambahbaikan penulisan yang dinukilkan semasa pengembaraan ini dari sudut ejaan, fakta dan tata bahasa. Oleh itu, segala fakta, rujukan dan petikan sirah Islam yang dipetik dalam buku ini sebahagian besarnya adalah catatan yang dibuat berdasarkan ingatan dan bacaan saya ketika itu.

Juga manfaat untuk diingatkan bahawa, nukilan saya adalah bersifat peribadi dan ianya hasil luahan rasa dan emosi sepanjang pengembaraan ketika berada di bumi Haramain, al Quds, Ummu al Dunya, Jepun dan Amerika Syarikat. Sekiranya ada nukilan yang kadang-kadang sentimental dan emosional, ianya bukan bertujuan sebagai penyedap rasa dan retorik, tetapi ianya benar-benar lahir dari isi hati yang masih segar ketika berada di muka bumi Allah ini. Saya mengakui bahawa buku ini bersifat tidak terlalu akademik dan agak santai tetapi masih mengekalkan elemen keilmuan dan unsur dakwah.

Saya dengan rendah diri berdoa semoga buku ini dapat sedikit sebanyak memberikan sumbangan dan manfaat kepada masyarakat yang ingin menimba pengetahuan mengenai kehidupan dan ragam manusia di bumi permusafiran. Semoga usaha kerdil ini mendapat keberkatan dan kerahmatan Allah SWT.


Zulkifli Hasan

Senawang, Negeri Sembilan