Menilai Kembali Syahadah Kedua

25/03/2021
by Admin ILHAM BOOKS
Ulasan Buku Syahadah Kedua: Menilai Semula Pemahaman Syahadah Masa Kini

Dalam kepasifan harap, saya menonton runtuhnya ketamadunan manusia. Namun, penulis tidak segan silu menghantar sebuah solusi untuk kemanusiaan yang layu. Tulisan ini begitu berani dalam kesetaraan menjerut kita untuk kembali pada fitrah kemanusiaan sebelum bertuhan. Bahasanya halus. Bahkan tulisan ini memperkenalkan Tuhan di luar imaginasi manusia. Sebaliknya memperkenalkan erti bertuhan secara manusiawi.

Penulis begitu berani mengeret kembali tauhid orang-orang suci di zaman agama sudah lesu di tangan agamawan. Itulah kekuatan tulisan ini, dan kekuatan penulis sendiri. Seorang lepasan bidang usuluddin seperti beliau nadir sekali berjaya menanggapi keberagamaan secara sufistik dan mistik langkau doktrin konvensional. Penulis mengupayakan kemampuan turath (tradisi islam) dan falsafah dan semakan dari sarjana timur dan barat untuk mengadun buku yang enak ini.

Membaca buku ini seaman dihidangkan segelas anggur peram dalam kejelakkan hari, begitu tenang. Dengan ketenangan ini dipersembahkan Islam nan damai, dan memahami Muhammad Sang Nabi Pendamai dan Allah Maha Damai. Agama ditegakkan dengan tujuan dan makna dan isi wahyu bukannya sekadar pemahaman yang simplistik dan dogma-dogma kaku. Jadi, sekiranya anda bukan seorang yang mahukan kedamaian dan ketenangan beragama, anda tidak wajar meneguk peraman anggur ini. Peraman ini resepinya mula dipersiapkan seorang tokoh falsafat Islam dan sufi mistik yang Agung Syeikhul Akbar Muhyyuddin Ibnu Arabi yang sentiasa menjadi kontroversi pada para penelaah yang bukan peneguk kedamaian.

Saya kira ini tulisan yang liar dan berani. Buku ini juga tanpa silu menyinggung para pemonopoli pasaran kebenaran sehingga rosak dan runtuhnya roh kebenaran dalam beragama. Sekali lagi, perahan buku ini agak berat bahkan penulis terkadang hanyut dan mabuk sendirian, seolah-olah omolan spiritual dan renungan sosial peribadi. Dek kerana bahasa dan kehanyutan ini anda mungkin tidak menemui kesimpulan yang mudah dalam buku ini, harus dibelek berkali-kali walaupun penulis cuba merumuskan pemahaman Ibn Arabi secara tuntas.

Cuma kelebihan dalam buku ini adalah, konsep-konsep Ibn Arabi itu sudah dimuatkan dalam realiti semasa dan kesimpulan yang lebih membumi untuk penggemar dan pemula perahan anggur falsafah Ibn Arabi walaupun penulis begitu gelojoh sekali menutup kesimpulannya.

Tidak ada apa yang boleh saya katakan jauh, melainkan terima kasih atas segelas minuman sebagai tetamu yang dimuliakan. Kepada para pemula Akbariyyah, buku ini saranannya untuk anda mula berjinak kepada agama tenang seperti dalam keterbalikan syahadah dan kalimat keramat kedua itu. Asyhadu anla Ilaha Illa Hu, wa Asyhadu anna Muhammadan tajalluHu.

Ya Hu.

Amirul Mukminin

Penyelidik Bebas Istanbul