Menjadi Peguam Kriminal

05/12/2020
by Admin ILHAM BOOKS

“Peguam jenayah ni tak betul. Kerja dia nak melepaskan orang jahat. “Jangan jadi loyar jenayah, sebelah kaki dah ke neraka.”

Ini adalah antara kata-kata yang selalu dihalakan kepada mereka yang menjadi peguam jenayah. Seolah-olah kerja ini kotor dan berdosa.

Persoalannya, betulkah atau tidak kata-kata tersebut?

Semasa saya belajar undang-undang di universiti dahulu saya sering ditanya apakah cita-cita saya di masa depan. Saya ada jawapan yang standard iaitu;

“Selain peguam jenayah”.

Itulah jawapan yang tidak diubah-ubah. Sehinggalah takdir menentukan yang saya akan menjadi apa yang saya tidak mahukan itu. Jadi, beware of what you wish for!

Semasa tahun akhir pula, saya begitu ghairah hendak menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Angan-angan sampai peringkat doktor falsafah di luar negara. Namun, semasa saya hadir ke universiti untuk mengambil keputusan peperiksaan akhir, Allah telah memanggil abah saya yang tercinta pulang ke rahmat-Nya.

Barulah saya sedar rupanya abah saya telah mencarikan tempat untuk saya mendapat latihan dalam kamar (chambering) di Kota Bharu. Firma tersebut pula adalah firma yang established sebagai firma kes-kes jenayah. Pemiliknya adalah peguam jenayah terkemuka di Kelantan. Tidak pernah abah beritahu saya sebelum itu.

Saya mula terfikir. Setiap apa yang Allah jadikan mesti ada kebaikannya. Jika saya turut hasrat abah saya sendiri, sudah tentu ada keberkatannya. Jadi, saya mengubah haluan hidup dan menceburkan diri sebagai peguam pelatih. Dari situ bermula bercambahnya minat saya dalam bidang jenayah. Sebagai peguam jalanan. The rest is history.

Dalam apa bidang pun kita berada, pokok pangkalnya adalah cara kita membawa diri di dalamnya. Jika kita pilih untuk menjadi seorang peguam hartanah contohnya, sudah tentu melibatkan diri dalam perbankan konvensional (riba) juga sesuatu yang salah. Sesalah membela orang yang salah. Bahkan lebih salah kerana berperang dengan Allah, bukan?

Pengalaman menjadi seorang Timbalan Pendakwa Raya telah menetapkan iltizam saya bahawa saya perlu menjadi seorang peguam jenayah. Bagi saya, ia adalah fardu kifayah. Ramai yang terlibat sebagai tertuduh adalah orang Islam. Jika kita yang memahami hukum dan batas-batas agama mewakili mereka, sudah tentu kita mampu berbuat sesuatu yang jauh lebih baik daripada peguam lain.

Ruang-ruang kezaliman sangat senang untuk terbentuk dalam sistem perundangan kita. Bermula daripada penyiasatan pihak berkuasa, tapisan oleh Pendakwa Raya sehinggalah kepada proses di Mahkamah. Peguam perlu wujud dan berperanan untuk memastikan kesemua pihak melakukan tanggungjawab masing-masing seadilnya. Kamilah yang menjadi tukang semak dan imbangnya.

Hakikatnya, kerjaya peguam bela ini tidak difahami oleh ramai orang hatta oleh ahli keluarga kita sendiri. Masyarakat amnya memang menganggap peguam jenayah ini “bersekongkol” dengan penjenayah. Mereka berpandangan sebegitu sehinggalah mereka atau saudara mereka sendiri yang dituduh di Mahkamah. Barulah mereka akui peguam bela ini diperlukan.

“Saya kalau ambik kes jenayah, saya pilih yang tak ganas, tak kejam. Saya ambik kes rasuah atau kes kolar putih contohnya.” Kata seorang peguam senior bila saya minta pendapat beliau semasa mula-mula jadi peguam dulu. Bukankah jenayah tetap jenayah? Tidak kiralah kes bunuh atau rasuah. Hakikatnya kesemua yang dituduh itu kan dianggap jahat? Mana ada jenayah yang baik atau kurang jahat?

“Kalau kita wakil kes jenayah, kita temuramah anakguam. Kalau mereka kata mereka tak bersalah, kita teruskan wakillah. Kalau mereka mengaku, kita kena suruh mereka mengaku.” Itu rumusan seorang peguam bila diminta beri pendapat dalam satu program. Program diberi nama “Sepetang bersama otai criminal” itu saya yang jadi moderatornya.

Jelas, peguam sendiri pun tidak faham tugas sebagai peguam bela. Peguam ni sebenarnya salah satu komponen penting dalam sistem perundangan kita. Dua komponen lain ialah Pendakwa Raya dan Mahkamah. Jika ketiga-tiga komponen ini bekerja sebaiknya, keadilanlah yang akan ditegakkan. Samada tertuduh itu disabitkan atau dilepaskan, ia tetap adil. Hasil canaian yang cantik oleh ketiga-tiga komponen.

Jadi apa yang membezakan peguam bela yang beramanah dan tahu halal haram dengan 'loyar buruk'? Kita dilantik untuk menguji keterangan yang dikemukakan. Beban untuk membuktikan kes mesti terletak pada bahu pendakwa.

Walau betapa kejam sekalipun pertuduhan yang dikenakan, nyawa seseorang hanya boleh dicabut dengan bukti yang kukuh. Begitu juga kebebasan diri. Hanya boleh ditarik dengan keterangan yang kukuh.

Itulah tugas peguam. Mencabar dan menguji keterangan. Jika selepas peguam mencabar keterangan, masih lagi ia kekal kukuh, bererti tertuduh layak untuk dihukum. Sebaliknya selepas cabaran dibuat dan keterangan ternyata lemah, tertuduh layak pula dilepaskan. Itulah keadilan. Kedua-dua pihak berpeluang. Mahkamah yang mendengar pula akan memutuskannya.

Perkara berikutnya yang membezakan peguam jenayah yang berintegriti dengan yang bukan adalah cara peguam melaksanakan tugas. Peguam perlu work out dengan apa yang available pada mereka. Berdasarkan keterangan yang ada. Bukan dengan cara memperdaya mana-mana pihak atau mereka-reka keterangan.

Bukan juga dengan cara mengancam saksi, menyembunyikan keterangan dan lain-lain lagi. Ini semua memang membawa ke neraka. Jadi peguam atau tidak peguam pun. Kalau kerja kita disulami dengan penipuan, pembohongan atau rekaan, kesemuanya salah dan berdosa.

Tugas peguam bela bukan untuk membebaskan anakguam at all cost. Semua kes yang diwakili hendak menang. Perlu selesai dengan perlepasan anakguam. Itu bukanlah ukuran kejayaan seorang peguam jenayah. Rekod menang dan kalah bukan kayu ukur bagusnya peguam atau tidak.

Peguam kena jujur dan realistik. Jika keterangan yang dikaji itu overwhelming yakni jelas tidak memihak kepada anakguam, maknanya peguam perlu memberikan pilhan lain. Contohnya mengaku salah atau menulis surat rayuan representasi meminta pertuduhan dikaji semula. Ini bermaksud peguam masih ingin membantu anakguam dalam keterbatasan yang wujud.

Ramai peguam menjadikan yuran guaman sebagai pertimbangan utama. Semua kes akan dipaksa anakguam untuk lawan (fight). Kenapa? Sebab jika kes diteruskan untuk bicara, maka anakguam perlu membayar yuran guaman yang jauh lebih tinggi. Ini satu lagi sikap yang tidak boleh ada pada peguam jenayah yang tulen.

Secara peribadi saya yakin beradanya saya dalam bidang ini mempunyai sebab dan musababnya yang tersendiri. Sedikit bakat dan kemahiran yang Allah anugerahkan kepada saya dan ramai lagi rakan peguam, tidak harus dipersiakan. Cumanya bagaimana kita memandu arah perjalanan karier kita dalam arena yang sering disalah anggap ini. Itu sahaja.

Selagi kita yakin dan percaya kita melakukan tugas dengan jujur dan beramanah, peguam perlu kekal meneruskan khidmat sebagai peguam jenayah. Di sudut hati, saya sering berdoa kepada Allah agar membuka jalan rezeki yang lain sekiranya keberadaan saya dalam bidang ini sudah menjadi satu kezaliman. Ketika itu saya perlu berhenti. Namun khidmat saya masih ditagih di arena ini.

Kerjaya sebagai peguam ini sama mulia dengan komponen lain dalam sistem perundangan kita. Bahkan saya secara peribadi merasakan kerja sebagai peguam 'orang jahat' ini lebih mulia. Kenapa? Peguam jenayah mempunyai peluang untuk memberi peluang kehidupan kepada tertuduh.

Jika dengan asbab kerja peguam itu memberikan keinsafan dan hidayah kepada 'penjahat-penjahat' ini, sudah tentu ada keberkatan dalam pekerjaan peguam ini. Apatah lagi jika peguam berjaya membantu orang yang teraniaya daripada dihukum dengan tidak wajar.

Seorang peguam senior yang saya hormat pernah memberi satu perumpamaan; “Jadi peguam ni ibarat macam rukun Solat. Ada 13 rukun Solat. Semuanya sama penting. Tanpa salah satu, solat tidak akan sah”. Begitu juga peguam. Tanpa peguam, keabsahan sistem perundangan juga tidak akan tercapai.

Kita semua sama penting. Sama!


*Antara petikan yang diambil dalam buku Peguam Kriminal karya sulung Ariff Azami Hussein