Nas dan Maslahah dalam Perspektif Menang-Menang

04/10/2018
by Admin ILHAM BOOKS

Bismilliharrahmanirrahim

Karya yang dihasilkan oleh Dr. Ahmad Badri Abdullah ini, merupakan sumbangan akademik yang bermanfaat khususnya bagi golongan penuntut ilmu, para pengkaji serta mereka yang mempunyai minat yang mendalam terhadap wacana hukum Islam semasa.

Karya ini cuba membuka dimensi baharu dalam perbahasan hukum Islam melalui pengintegrasian dengan bidang pemikiran sistem. Saya mendapati pendekatan ini amat menarik untuk diamati kerana memperlihatkan sıfat wacana hukum Islam yang dinamik serta kemampuannya untuk berintegrasi dengan disiplin ilmu lain meskipun daripada tradisi yang berbeza. Ini turut membuktikan bahawa, Islam secara asasnya mampu berinteraksi secara positif dan harmonis dengan tradisi keilmuan Barat yang bukan sahaja dalam bentuk pertentangan dan konflik semata-mata.

Isu-isu pemikiran dan persoalan-persoalan hukum yang dibangkitkan dalam karya ini turut menarik untuk diperhatikan secara lebih dekat. Ini kerana isu yang melibatkan hubungan timbal-balik antara peruntukan nas-nas syarak dan maslahah akan sentiasa timbul dari masa ke semasa. Seringkali isu-isu sedemikian ditangani tanpa mengambil pendekatan yang bersifat menyeluruh dan akhirnya mencetuskan konflik yang tidak berkesudahan. Karya ini, pada hemat saya, cuba menawarkan sebuah perspektif kepada pembaca, bahawa isu-isu hukum tersebut perlu diuruskan secara bijak dengan mengambilkira pelbagai aspek yang dilihat signifikan.

Dalam isu-isu hukum yang melibatkan elemen nas Syarak dan maslahah, seringkali keduanya ditanggapi seakan bertentangan di antara satu sama lain. Berpegang teguh dengan peruntukan nas sering dilihat sebagai berlawanan dengan komitmen memelihara maslahah semasa, begitu juga sebaliknya. Karya ini signifikan dalam membincangkan hal ini kerana cuba menawarkan perspektif bahawa hubungan ‘menang-menang’ ( win-win) antara nas Syarak dan maslahah pada hakikatnya mampu dicapai serta harus sentiasa menjadi matlamat utama dalam proses penyimpulan hukum. Pendekatan ini dapat dinyatakan sebagai selaras dengan semangat wasatiyyah iaitu pencapaian natijah yang bersifat seimbang (tawazun) dan sederhana.

Akhir sekali saya mengucapkan tahniah kepada penulis dan pihak penerbit, ILHAM Books dan IAIS Malaysia di atas kejayaan menerbitkan karya ini. Diharapkan karya ini dapat menawarkan kepada khalayak pembaca satu sudut pandangan yang bermanfaat kepada mereka khususnya dalam rangka untuk memahami dinamika hukum Islam serta isu-isu yang berkaitan dengannya.

Wassalam

Prof. Madya Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IAIS Malaysia

Untuk dapatkan buku ini, klik di sini.