Nas, Maslahah dan Maqasid al-Shari'ah

04/10/2018
by Admin ILHAM BOOKS

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Segala syukur dan puji bagi Allah yang maha esa lagi berkuasa yang menganugerahkan hidayah dan keupayaan untuk merealisasikan penerbitan Maqasid al-Shari’ah Antara Nas dan Maslahah Suatu Pendekatan Sistem ”. Penerbitan ini merupakan usaha terpuji penulis untuk menghasilkan karya rujukan yang komperehensif dan informatif ke arah mendidik masyarakat memahami dan menghayati Maqasid al-Shari’ah.

Wacana Maqasid al-Shari’ah kini telah mendapat tempat di kalangan masyarakat dan semakin giat dibicarakan oleh pelbagai pihak. Ini seiring dengan keterujaan ramai pihak untuk mempertontonkan Islam itu sebagai agama yang bersifat ‘universal’ atau sejagat. Kebangkitan kesedaran mengenai Maqasid al-Shari’ah atau al-Sahwah al-Maqasidiyyah ini pastinya memberikan makna dan penjenamaan penting kepada ajaran Islam yang syumul bersifat Rahmatan Lil ‘Alamin.

Namun begitu, melihat kepada amalan dan perkembangan wacana Maqasid al-Shari’ah, didapati wujudnya perbincangan dan perbahasan mengenainya yang tidak bersandarkan kepada kerangka ilmu yang kemas dan tepat. Malahan terdapat perbahasan yang semata-mata menggunakan akal tanpa bersandarkan kepada disiplin ilmu yang sewajarnya. Ini boleh menimbulkan kekeliruan bahkan mengelirukan di mana akhirnya Maqasid al-Shari’ah itu boleh dilihat sebagai sesuatu yang negatif terbuka untuk disalahtafsirkan secara meluas. Oleh itu, sebarang perbahasan dan kupasan mengenai Maqasid al-Shari’ah perlu dibuat menerusi kaedah dan kerangka yang tepat bersandarkan kepada disiplin ilmu yang dibangunkan oleh ilmuwan dan sarjana Maqasid al-Shari’ah.

Perbahasan Maqasid al-Shari’ah dan penelitian kepada aplikasi konsep maslahah secara saintifik merupakan sesuatu yang sangat diperlukan bagi menyelesaikan pelbagai konflik dan permasalahan umat. Dalam konteks dunia hari ini dengan kepelbagaian pemikiran, budaya dan kepercayaan, penerapan nilai-nilai Maqasid al-Shari’ah merupakan pendekatan yang paling ideal ke arah mewujudkan persefahaman dan kestabilan dari sudut ekonomi, sosial, budaya termasuk politik. Oleh itu, adalah amat signifikan dan penting untuk memastikan masyarakat dari segenap lapisan dan pelbagai latarbelakang berlainan bangsa, agama dan budaya untuk memahami dan mempunyai kesedaran mengenai Maqasid al-Shari’ah.

Saya membaca dengan penuh minat buku ini yang menghidangkan perbahasan dan kupasan secara kritikal dan segar mengenai hubungan antara nas dan maslahah menerusi neraca Maqasid al-Shari’ah. Wacana yang diketengahkan dalam buku ini membawa pembaca ke satu daerah perbahasan yang begitu menerujakan mentafsirkan hubungan antara nas dan maslahah dalam tradisi hukum Islam klasik dan pendekatan modenis dan post-modenist dalam konteks semasa. Ia menghuraikan pelbagai permasalahan yang sering kali menjadi polemik di kalangan sarjana Maqasid al-Shari’ah dan fuqaha tradisi dan kontemporari.

Lebih menarik, buku ini menggunakan pendekatan multi-dimensi menghuraikan polemik antara naṣ dan maṣlaḥah menerusi neraca Maqasid al-Shari’ah dalam kerangka pemikiran sistem. Tidak banyak karya mengenai Maqasid al-Shari’ah dan mungkin hampir tiada dalam Bahasa Melayu yang menggunakan kerangka pemikiran sistem dalam mengoperasikan pelaksanaannya secara sistematik dan tersusun. Pendekatan penulis mengolah perbahasan yang penting ini dalam bahasa yang mudah dengan gaya penulisan tersendiri menjadikan karya ini mempunyai keunikan dan kelebihannya yang tersendiri.

Dengan keunikan dan kelebihan yang ada, saya dengan yakin berpandangan bahawa buku ini mesti dimiliki oleh perpustakaan, institusi, organisasi, badan kerajaan dan bukan kerajaan termasuk individu sebagai koleksi peribadi. Buku ini pastinya dapat memberikan sumbangan intelektual yang signifikan ke arah mendidik masyarakat secara sistematik dan tersusun berlandaskan kaedah yang tepat bagi memahami nas, maslahah dan Maqasid al-Shari’ah menerusi kerangka pemikiran sistem yang dinamik. Setinggi tahniah kepada penulis dan penerbit yang berjaya menghasilkan nashkah yang sangat bermanfaat ini. Semoga usaha-usaha murni sebegini akan diteruskan lagi dengan istiqamah dan seterusnya mendapat keberkatan daripada Allah Subhanahu Wataala .

Sekian. Wassalam.

PROFESOR MADYA DR. ZULKIFLI HASAN

Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang

Universiti Sains Islam Malaysia

Untuk dapatkan buku ini, klik di sini.