Perlaksanaan Hudud di Malaysia: Retorik atau Realiti?

22/06/2017
by Admin ILHAM BOOKS
Prakata Penyunting Hududisme: Antara Retorik dan Realiti

Segala syukur dan puji bagi Allah S.W.T yang maha esa lagi berkuasa yang menganugerahkan hidayah dan keupayaan untuk merealisasikan penerbitan buku Hududisme: Antara Retorik dan Realiti ini.

Tariq Ramadan seorang pemikir intelektual Muslim di Barat telah mengejutkan ramai pihak apabila membuat gagasan dalam makalah “ An International call for Moratorium on corporal punishment, stoning and the death penalty in the Islamic World” untuk menangguhkan perlaksanaan hudud pada waktu ini. Saranan ini mendapat kritikan hebat oleh ramai pihak kerana menganggap ia adalah sebahagian daripada tuntutan akidah.

Hingga kini, mahu tidak mahu kita tidak boleh menafikan bahawa wacana hudud di dunia Islam terus menjadi perbincangan dan perdebatan di kalangan orang Islam termasuk bukan Islam. Walaupun dengan pelbagai konflik dan krisis dari sudut sosio-ekonomi, politik, pendidikan dan sebagainya, masih terdapat golongan yang terus istiqamah memperjuangkan hudud sebagai sebahagian daripada pengorbanan dan perjuangan suci mereka.

Malaysia juga tidak ketinggalan malahan dilihat mendahului ramai dalam meneruskan usaha-usaha dan cita-cita hudud. Presiden PAS yang juga ahli Parlimen Marang, Tuan Guru Dato’ Ser Haji Abdul Hadi Awang telah berjaya mengemukakan Usul Rang Undang-undang Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah Bidang kuasa Jenayah 1965 (Akta 355) yang hanya memberi bidang kuasa kepada Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman tidak lebih RM5 ribu atau/dan penjara 3 tahun atau/dan 6 kali sebatan. Sebelum ini, kerajaan PAS Kelantan dan Terengganu pernah meluluskan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas). Ada yang beranggapan bahawa usaha ini merupakan kejayaan awal ke arah melaksanakan hudud di Malaysia dan ada juga yang berpandangan ia adalah muslihat politik. Apa yang lebih membimbangkan ialah perkembangan ini telah mewujudkan fenomena yang pernah menghantui kita satu masa dulu iaitu gejala mengkafirkan dan memunafikkan orang lain. Ia sama sekali berlawanan dengan ruh dan maqasid Syariat Islam itu sendiri malahan memperlihatkan kebejatan akhlak dan etika seseorang yang memperjuangkan Islam.

Ironinya, di samping tidak menafikan keikhlasan sesetengah pihak, sejarah membuktikan bahawa isu hudud ini kerap kali dibangkitkan dan dihangatkan apabila tibanya sesuatu peristiwa besar dalam negara khususnya pilihanraya. Ia umpama modal yang sangat signifikan kepada sesetengah pihak yang lain untuk mendapatkan keuntungan menerusi peti undi. Umat Islam yang percayakan dengan kebenaran dan kesucian Syariat Islam pastinya teruja dan gembira dengan berita ke arah perlaksanaan hudud di Malaysia. Apa yang berlaku adalah sebaliknya, di mana hudud yang diuar-uarkan akan dilaksanakan itu kerap kali dingin dan beku apabila tamatnya pilihanraya. Masyarakat terus kecewa dan kini sudah mula mempersoalkan tindakan dan janji-janji sesetengah pihak yang memberikan harapan untuk melaksanakan hudud di Malaysia.

Buku ini merupakan sebagai salah satu daripada inisiatif dan tanggungjawab sosial dan tuntutan agama untuk memberikan kefahaman yang sebenarnya mengenai hudud dan realitinya dari sudut perundangan, politik dan sosio-budaya masyarakat Malaysia. Penerbitan buku ini berhasrat agar masyarakat dapat meneliti dan menganalisa isu hudud ini dengan lebih menyeluruh menerusi penguasaan ilmu pengetahuan. Dengan kupasan ringkas tetapi mendalam dan menyentuh secara langsung konsep, falsafah, teori, aplikasi dan isu mengenai hudud pastinya adalah sesuatu yang akan dapat memberikan manfaat kepada semua. Bukan itu sahaja, isi kandungan buku ini juga menampilkan perbincangan yang menarik dari pelbagai perspektif menerusi karya tokoh ilmuan dan pengkaji hudud yang diiktiraf pengetahuan dan keilmuannya.

Sekiranya merujuk kepada perkembangan dunia Islam khususnya gerakan Islam seperti Ikhwan al-Muslimin, Jamaat Islami dan lain-lain, didapati mereka sudah lama mencorakkan strategi dengan pendekatan baru yang berasaskan kepada fiqh awlawiyah. El-Nahda di Tunisia misalnya memberikan keutamaan kepada aspek ‘ good governance’ atau tadbir urus yang baik berbanding dengan cita-cita melaksanakan hudud. Begitu juga di Turki dan Indonesia apabila gerakan Islam lebih mengutamakan kebajikan dan keadaan sosio-ekonomi serta pendidikan rakyat. Gerakan Islam di Barat pula terus relevan dan aktif dengan kegiatan kemanusiaan dengan usaha mempertontonkan Islam sebagai Rahmatan lil’alamin. Perkembangan ini mungkin boleh memberikan gambaran mengenai dinamika dan halatuju perjuangan ke arah mengembalikan kebangkitan Islam. Buku ini juga ada menampilkan perbincangan mengenai dinamika perlaksanaan hudud dalam konteks politikal Islam kontemporari.

Sehubungan itu, seharusnya wacana hudud ini bukanlah dijadikan sebagai modal politik yang penuh sarat dengan keuntungan duniawi tetapi ia mesti dipandu dengan nas yang sahih dan keikhlasan hakiki dengan mengambil kira realiti semasa. Sememangnya perlaksanaan Syariat itu adalah sebahagian daripada tuntutan akidah dan manifestasi keimanan. Usaha ke arah merealisasikannya itu perlu dilaksanakan dengan penuh berhikmah agar Islam itu dapat dipamerkan dalam bentuk yang memberi kerahmatan kepada semua.

Pihak kami berharap agar buku ini dapat memberikan sumbangan yang bermanfaat kepada pembaca bagi memahami isu hudud ini dengan lebih rasional dan tidak emosional berpaksikan kepada penguasaan ilmu pengetahuan. Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penulis yang memberikan keizinan untuk pihak kami menerbitkan karya mereka. Syabas juga diucapkan kepada Ilhambooks, penerbit yang masih baru dalam bidang penerbitan dan penghasilan karya ilmiah yang begitu progresif dan dinamik serta berani untuk mengambil pendekatan tidak popular menerbitkan buku-buku yang sarat dengan gagasan, idea dan pemikiran kontemporari. Semoga Allah memberkati segala usaha ini dan memberikan hidayah dan inayahnya kepada semua.


Zulkifli Hasan

Sg. Gadut, Negeri Sembilan


Comments

No posts found

New post