Islam & Kepelbagaian Rahmat Untuk Semua

06/08/2018
by Admin ILHAM BOOKS

Penglibatan saya dalam pelbagai aktiviti memupuk perpaduan nasional membawa saya kepada satu keyakinan bahawa kepelbagaian adalah satu prinsip kehidupan. Namun apa yang lebih sukar untuk saya pelajari ialah bagaimana kepelbagaian hendak diuruskan dan dibentuk menjadi satu peluang kebaikan dan bukan satu bala yang menimpa kita.

Hakikatnya perjalanan perpaduan dan kedamaian yang saya terokai bukanlah mudah kerana saya terpaksa mencabar status-quo apatah lagi berada dalam sebuah masyarakat yang majmuk di mana set pemikiran anggotanya berorientasikan kaum masing-masing. Lebih buruk ialah, isu kaum kadangkali bercampur baur dengan isu agama dan dalam situasi ini boleh menjadi cetusan kebencian antara agama.

Saya juga berpeluang untuk menyumbang bakti ide dan pemikiran apabila dilantik menjadi salah seorang anggota Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) yang didirikan oleh Jabatan Perdana Menteri untuk memberi input kepada satu Blue Print Perpaduan Nasional. Saya berpeluang untuk mengenali dengan lebih praktikal bagaiman dasar perpaduan diterapkan dalam kerangka sebuah negara dan apakah masalah dan cabarannya dalam konteks Malaysia yang rencam masyarakatnya.

Saya juga meyakini perlunya rundingan awam, rundingan pihak berkepentingan dan perdebatan sihat dalam menentukan dasar-dasar yang menyentuh daerah sensitiviti seperti isu agama, bangsa dan kepercayaan masyarakat.


Membumi Dalam Mencari Formula

Seringkali isu perpaduan dan kaitannya dengan tuntutan agama didasari nilai idealisme yang sukar dibumikan. Perlu ada satu kaedah yang merumuskan idealisme sesuatu dengan praktikaliti sebuah negara dan diterjemahkan menjadi dasar untuk kebaikan semua pihak. Saya tidak melihat yang lebih ideal daripada idealisme Islam dan praktikalitinya dalam membina masyarakat majmuk yang inginkan kehidupan damai dan sejahtera dalam bingkai kesatuan Malaysia.

Mencari formula tersebut perlu kepada membina jambatan antara prkatikaliti dan idealismdnya. Saya menemui jambatan itu dalam prinsip yang dianjurkan oleh Islam melalui Fiqh Waqie atau Fiqh Realiti yang diperkayakan oleh karya kajian usul fiqh sama ada oleh ulama silam mahupun ulama kontemporari. Semuanya bersumberkan kepada maksud syariat itu sendiri yang berdiri atas maslahah atau kepentingan utama.

Ia berpandukan kepada ketajaman prinsip seperti, Mencapai Maqasid Syariah (تحقيق المناط), Kajian Kesan Tindakan (مالات الافعال), Mendahulukan Yang Utama (فقه الاولاويات) dan Fiqh Dialog (فقه الحوار). Kesemua pendekatan prinsip-prinsip kefahaman kepada makna Islam ini menjadi jambatan berkesan untuk memahami antara ideal dan realiti.

Hasil Formula

Hasil formula ini ialah dasar Rahmat bagi memandu kepelbagaian yang wujud di Malaysia kerana mencapai maksud Rahmat adalah lebih besar pengertian Islamnya daripada benci membenci antara satu sama lain. Begitu juga mengambil tindakan atas nama Islam dikaji kesan tindakan melalui proses yang teliti supaya makna Rahmat itu tidak dicacatkan dengan tindakan kita dan melihat kekangan dan permasalahan sebelum bertindak atas nama Islam adalah pilihan keutamaan yang diizinkan oleh syara’. Semua ini tidak terlaksana tanpa hiwar atau dialog antara pelbagai pihak untuk mencapai maksud damai dalam perhubungan.

Sepintas membaca muqaddimah ini, mungkin ada yang mengandaikan saya tidak tegas dalam menyatakan antara iman dan kufur, serta antara haq dan batil. Pastinya andaian dan tanggapan ini tidak tepat malah tersasar. Buku ini akan menjelaskan tanggapan simplistik sesetengah pihak yang kurang faham intipati kedatangan Islam yang membawa obor Rahmat ke alam ini. Ia bukan mudah sekadar satu dua ceramah atau khutbah tetapi gaya berfikir yang berstruktur dan disiplin kefahaman nas daripada hadith dan Al Quran memandu pemikiran Rahmat yang cuba diketengahkan.

Menjawab Tuduhan

Sekaligus buku ini juga menjawab pemikiran saya yang sering dilabel sebagai “liberal” dan “longgar” khususnya dalam konteks hubungan antara agama dan kaum di negara ini. Kepada mereka saya cadangkan membaca buku saya sebelum ini iaitu Berdialog dengan Gereja: Sebuah Travelog Kedamaian (terbitan ILHAM Books).

Namun buku itu terlalu santai walaupun saya cuba menjawab sebahagian salah tanggap kepada usaha saya dan kerana itu saya diminta oleh sahabat dan rakan seperjuangan supaya menulis sesuatu yang agak serius dalam membentuk kefahaman yang betul kepada erti kepelbagaian dengan menjadikan Rahmat Islam sebagai asasnya.

Buku ini juga tiba dalam suasana Islamophobia dan keberantakan IS yang mewajarkan tindakan ganas mereka atas nama Islam. Tindak balas umat Islam pula tidak terarah, ada yang menentang IS tetapi bertindak seperti IS dalam jalur pemikirannya, ada yang menangani Islamophobia tetapi mencairkan Islam atas jalur apologetik.

Saya tidak menemui jalan lain tetapi terpaksa mengambil jalan panjang untuk menghimpunkan kecelaruan ke satu arah dan untuk memahami Islam dan keindahannya tiada jalan pintas. Pembaca perlu membaca, memahami semangat buku ini dan cuba memahami realiti dengan melihat konteks sebuah negara dan bagaimana Islam beroperasi dalam bingkai itu.

Pengalaman Malaysia

Saya cuba mendedahkan kepada pembaca akan bingkai negara dalam menampung kepelbagaian kaum dan agama dengan merujuk kepada tunggak kewujudan negara Malaysia. Islam dalam bingkai ini adalah asas utama manakala Melayu adalah bangsa yang dikaitkan dengan agama rasmi Persekutuan. Islam dalam bingkai kenegaraan berfungsi dalam penafsiran Perlembagaan Persekutuan melalui penghakiman dalam kes-kes yang melibatkan Islam.

Islam juga ditafsirkan oleh ahli politik mengikut acuan kepartian masing-masing dan tidak kurang para ulama sama ada ulama pemerintah ataupun ulama bukan dari kalangan pemerintah yang menjalankan tugas mereka. Di celah pelbagai lapis penafsiran Islam dalam bingkai besar negara, masyaraat awam tersepit antara ajakan sentimen dan emosi kepada ajakan berobjektif dalam memahami Islam.

Tidak ketinggalan dalam bingkai ini penyertaan debat masyarakat bukan Islam dalam memberi pandangan mereka sebagai memenuhi hak warganegara yang terkesan dalam isu-isu berkaitan Islam dan syariat. Apatah lagi mobilisasi politik yang mempertaruhkan agama dan kaum sebagai isu sentral untuk mendapat sokongan massa yang majmuk.

Disinilah terletaknya pencelahan Rahmat Islam bagi meyakinkan semua orang bahawa jalan perdebatan ini mestilah melihat maslahat negara yang lebih utama untuk dipelihara kerana negara yang tidak berfungsi akan mengheret perdebatan ini ke kancah kemusnahan dan kecelaruan.

Susunan Pemikiran Buku

Saya mulakan dalam bahagian pertama asas yang membina konteks kepelbagaian dari sudut fitrah dan falsafah serta penghayatan Islam keoada kepelbagaian. Susulan asas ini saya memperkenalkan konsep Rahmat, prinsipnya dan pendekatan untuk membawa nilai Rahmat dalam kepelbagaian. Bahagian II ialah bingkai kenegaraan dan kedudukan Islam dalam operasi tersebut serta isu yang dilihat menjadi konflik dalam kepelbagaian yang ada. Bahagian akhir ialah usaha untuk mengkonstruk antara idealisme Bahagaian I dan realiti kenegaraan Bahagian II dalam usaha membina sebuah Negara Rahmat untuk semua dengan meletakkan prinsip Kesederhanaan, Masyarakat Berakhlak, Politik Damai dan Rekonsiliasi Nasional dan akhirnya Mengantarabangsakan Malaysia dalam masyarakat global dunia. Dengan susunan ini saya mengharapkan pembaca dapat membentuk ide Politik Rahmatan dalam slogan yang saya namakan sebagai Malaysia Rahmat Untuk Semua.

Penghargaan

Saya merakamkan jutaan terimakasih kepada penerbit ilhambooks khususnya saudara Jalaluddin dan Al Fadhil Ustaz Badri yang menyemak petikan Al Quran dan hadith serta pandangan para fuhaqa. Sebagaimana cetusan ide buku ini tidak akan terhasil tanpa bacaan awal saya kepada buku التعايش السلمى في ايطار دولة واحدة oleh Dr Surahman Hidayat dari Indonesia. Naskhah buku itu adalah bahan tesis PhD beliau di Universiti Al Azhar yang saya sempat membelinya semasa lawatan saya ke Kaherah pada tahun 2011. Percambahan ide dalam karangan beliau amat menarik kerana ia menyentuh soal perlunya “Hidup Bersama Dalam Kedamaian” apabila berhadapan dengan kepelbagaian agama dan kaum dalam bingkai satu negara, malah beliau memetik beberapa contoh Malaysia dan Indonesia. Asas peacefull co-existence ini ialah dengan melihat tesis Islam sebagai panduan dan takungannya.

Semoga buku ringkas ini mendorong pihak lain untuk mengembangkan ide mereka malah mengkritik pandangan-pandangan yang ada dalamnya demi untuk memperkukuhkan gagasan Rahmat Islam dalam konteks kepelbagaian dalam bingkai kesatuan negara yang satu.

Selamat membaca dan selamat memperjuangkan risalah Islam dengan semangat Rahmatan Lil ‘Alamin.


Al Faqir Ilallah

Mujahid Yusof Rawa

Parit Buntar, Perak

Comments

No posts found

New post