Terorisme: Diagnosis dan Penyelesaian

19/11/2018
by Admin ILHAM BOOKS

Menggunakan jalan keganasan sebagai penyelesaian bagi konflik kemanusian dalam hubungan antara sesuatu pihak dengan yang lain, bukanlah suatu perkara yang baru. Perbuatan memilih pendekatan ganas dalam kalangan penduduk bumi ini bukanlah suatu perkara baru yang mengejutkan setelah kita dengar tentang kisah perbalahan antara dua orang anak Nabi Adam.

Terdapat pelbagai bentuk faktor keganasan. Kadangkala ia berlaku kerana sebab yang besar seperti ingin merampas kerajaan dan kekuasaan, dan kadangkala ia berlaku atas sebab yang remeh seperti berjudi dan berlumba kuda.

Dalam sejarah Arab purba sendiri tertulis tentang perang al-Basūs, suatu perang yang berpanjangan selama 40 tahun antara kabilah yang bersaudara iaitu Taghlib dan Bakar, sedangkan kedua-duanya berbapakan Wā’il. Pergaduhan tersebut berpunca daripada seekor unta betina yang masuk ke kawasan Kulayb lalu Kulayb membunuh unta tersebut.

Manakala peperangan Dāis dan Ghabrā’ antara dua orang saudara, yang masing-masing daripada kabilah ‘Abs dan Dhibyān. Kedua-dua kabilah ini pula berasal daripada satu bapa iaitu Ghaṭafān. Pertelingkahan antara mereka tercetus hanya akibat pertaruhan antara mereka berdua dalam perlumbaan kuda.

Salah seorang penyair daripada kabilah mereka maratap dan mengenang nasib mereka di kawasan yang bernama Jafr al-Habā’ah lalu bersyair:

فَلَيتَهُما لَمْ يَجْرِيا َقْيَد غَلْوَةٍ وَلَيتَهُما لَمْ يَجْريا لِرِهانِ

Alangkah baiknya jikalau mereka tidak berlumba walau sejauh jarak panahan panah

Alangkah baiknya sekiranya mereka berdua tidak saling bertaruh

Sejarah silam kita penuh dengan tragedi seumpama ini dan tidak perlu lagi saya sebutkan peristiwa hitam yang lain seumpamanya. Itu adalah peperangan atas sebas yang remeh. Tetapi sekiranya peperangan tersebut tercetus akibat daripada faktor yang berkaitan dengan pemikiran dan ideologi, maka ia akan mengakibatkan lebih banyak kematian dan kehancuran. Peperangan besar tersebut akan kekal menyegar dan kuat mengakar dalam ingatan kita.

Ahli sejarah barat berpandangan bahawa kumpulan pengganas yang terawal dalam sejarah adalah gerakan pengganas Yahudi pada kurun pertama masihi. Mereka menggunakan jalan kekerasan yang melampau untuk menentang penjajahan Rom. Dalam tradisi Kristian Latin, mereka dikenali dengan nama kelompok pengganas Zaelot, manakala orang Rom menggelarkan mereka sebagai ‘puak belati’ kerana mereka sering menggunakan belati untuk membunuh wakil empayar Rom. Bukan sekadar itu, bahkan mereka juga turut membunuh bangsa mereka sediri yang dianggap telah murtad atau cuai beriltizam dengan ajaran Taurat.

Kita juga telah menemui beberapa contoh yang sama dalam sejarah dan peradaban Islam yang bersifat ganas sehingga memudaratkan teman dan taulan sendiri, sebelum memudarat dan menyerang pihak lawan.

Pada kurun yang pertama, golongan Khawārij yang merupakan punca perpecahan dan fitnah, telah mengkafirkan pembuat dosa dan mengangkat slogan “hukum hanya milik Allah” dan menjadikannya alasan untuk membunuh orang Islam. Dunia Islam tidak pernah sembuh daripada penyakit pemikiran ini sehingga munculnya kumpulan Hashshāsh īn pada penghujung kurun kelima hijrah, yang membuka pintu pendahuluan kepada penguasaan tanah syam oleh tentera salib.

Kelompok Hashshāshīn adalah kumpulan rahsia. Ahlinya mentaati ketua mereka secara membuta tuli begitu juga kepada ketua kerohanian mereka. Mereka akan membunuh mana-mana sahaja pihak yang bermusuh dengan mereka. Mangsa pertama mereka adalah Nizām al-Mulk. Tidak lama selepas itu mereka membunuh sultan pula. Mereka berkubu di kawasan bukit. Pada pertengahan kurun ke-7 hijrah, pada tahun 671 hijrah, Sultan Baibars telah menumpaskan organisasi ini

Sekiranya kita kembali sejenak melihat kepada tempoh sepanajang kurun yang lepas, api peperangan ini terus disemarakkan oleh semangat kebangsaan Parti Nazi di Jerman dan Fasisme di Itali dan Sepanyol. Pada masa yang sama idea kiri Proletariat menyalakan api perbalahan dengan pertentangan antara kelas dalam masyarakat di Asia, Amerika Latin, dan Afrika. Pertelingkahan antara puak ini tercetus di bawah slogan dan laungan kebebasan rakyat. Manakala ketibaan orang Yahudi ke Palestin yang membentuk organisasi Haganah pada tahun 1920, sebelum perisytiharan negara Israel pada tahun 1946; merupakan permulaan baru dalam sejarah keganasan, apabila ia meragut ribuan nyawa yang tidak bersalah. Ramai manusia menjadi mangsa dan sehingga hari ini mereka masih meniup api peperangan, hanya Allah sahaja tahu bila ia akan berakhir.

Peperangan yang berlangsung di dunia Arab di bawah tema kebebasan, didorong oleh semangat keislaman dan perkauman untuk melawan, dan hal ini digelar oleh penjajah sebagai perbuatan “keganasan”.

Semenjak revolusi Khomeini di Iran pada penghujung kurun yang lepas, gerakan Islam Syiah pula telah menggunakan keganasan di sana sini. Pada masa yang sama perang Soviet di Afghanistan menyemarakkan lagi api peperangan keagamaan. Pelbagai kumpulan Sunni daripada orang Islam turut terlibat dalam perang tersebut dan akhirnya mereka berjaya mengalahkan pihak musuh.

Selepas kebebasan Afghanistan, kegiatan keganasan tidak terhenti di situ, bahkan ia terus berkembang ke beberapa kawasan lain di dunia, sehingga mengancam keselamatan antarabangsa. Khasnya selepas perang Iraq-Kuwait dan tentangan dunia ke atasnya yang diketuai oleh Amerika Syarikat.

Begitulah aktiviti keganasan dan pengeboman terus menjadi-jadi, dengan cara dan rupa yang tidak dapat diterima oleh mana-mana perundangan, di mana-mana tempat sekalipun. Keganasan yang pada asalnya merupakan suatu garis merah dalam jiwa orang Islam, kini menjadi suatu kebiasaan di hadapan mata mereka.

Malangnya keadaan kian meruncing dan bertambah buruk apabila dua Menara Berkembar Pusat Dagangan Dunia di New York, Amerika Syarikat diserang pengganas. Maka bermulalah fasa baru dalam sejarah peperangan, atau lebih baik sekiranya saya sebut, tirai malam yang kelam mula menyelubungi buana, maka lenyaplah cahaya hak asasi manusia dan hilanglah kedudukan undang-undang yang pada asalnya berperanan untuk mengawal kuasa-kuasa besar dalam interaksinya dengan pihak yang lain.

Hal yang serupa turut berlaku di Eropah khasnya di Britain, apabila mereka turut mengalami keadaan yang sama dalam peperangan menentang tentera Republik Ireland dan konflik tersebut berpanjangan lebih daripada 30 tahun.

Setelah itu, Afghanistan dan negara Iraq diserang dan diceroboh. Kemudian berlakulah segala perkara yang kita semua sedia maklum dan lihat sendiri perkembangannya dengan mata kepala kita sendiri. Bom yang diletupkan dan senjata roket yang dilancarkan turut memudaratkan negara yang berhampiran, atas alasan kewaspadaan dan alasan-alasan dangkal lain yang akan saya bincangkan selepas ini.

Berdasarkan hal ini maka jelaslah kepada kita beberapa perkara:

1- Definisi konsep keganasan telah berkembang sehingga merangkumi pelbagai bentuk kegiatan ganas yang baru.

2- Negara yang sebelum ini tidak mengisytiharkan undang-undang anti keganasan, telah menggazetnya sebagai satu jenayah yang melanggar undang-undang.

3- Pelabelan terhadap pihak tertentu seperti Taliban dan al-Qaeda sebagai organisasi keganasan secara tidak langsung telah membuka ruang melabel dan menuduh dengan lebih luas terhadap individu, agensi, atau kerajaan sebagai puak pengganas, hanya berdasarkan kaedah: “sekiranya kamu tidak bersama kami, maka kamu adalah pengganas dan musuh kami”.

Setelah itu, usaha menentang gerakan pengganas dilancarkan dari sempadan Pakistan hinggalah ke sempadan Negara-negara Arab Teluk, Turki, dan Syria, dan kawasan ini berubah pula menjadi medan pertempuran dan peperangan.

Sebuah jurnal berbahasa Perancis ‘Questions Internationales’ (Isu-isu Antarabangsa), telah menghimpunkan dalam edaran bulan Julai-Ogos 2004, kronologi sejarah keganasan dunia. Beberapa peristiwa dan konflik dalam sejarah yang melibatkan tindakan keganasan telah dihimpun dan disenaraikan bagi menjelaskan kepada pembaca bahawa fenomena ini adalah hal yang sudah wujud sejak sekian lama, ia berlaku di pelbagai tempat, dan dijalankan oleh beragam manusia daripada pelbagai mazhab dan aliran.

Pada tahun 1798 istilah ‘terrorisme’ atau keganasan muncul dalam dalam catatan Akademi Perancis bagi menyifatkan tindakan kerajaan revolusi Perancis yang telah bertindak dengan sangat kejam terhadap golongan raja dan lainnya, atas nama revolusi dan kebebasan.

Pada tahun 1800, Napoléon Bonaparte terselamat daripada percubaan pembunuhan bom oleh pihak penguasa monarki.

Pada bulan Mac 1881 Alexander II Rusia mati dibunuh oleh kumpulan pemuda revolusioner.

Daripada 1892-1894 berlaku lagi beberapa siri serangan keganasan.

Pada tanggal 24 Julai 1894 Presiden Republik Perancis, Sadi Carnot telah dibunuh.

Pada bulan Jun 1914, Archduke Austria Franz Ferdinand dibunuh dan hal tersebut telah mempercepatkan peletusan perang dunia pertama.

Pada tahun 1932, seorang pemuda anarki telah membunuh Presiden Paul Doumer.

Pada bulan Oktober 1934 Raja Alexander I Yugoslavia dan Menteri Luar Negeri Perancis dibunuh di Marseille oleh puak nationalis Croatia dan peristiwa ini merupakan faktor awal tercetusnya perang dunia kedua pada tahun 1939.

Pada tahun 1937 Liga Bangsa telah mendefinisikan keganasan.

Pada Julai 1946, Organisasi Irgun Yahudi telah mengebom ibu pejabat pentadbiran risikan Britain di King David Hotel dan ia telah meragut lebih kurang 100 nyawa yang tidak bersalah.

Pada tahun 1947 gerakan Ikhwanul Muslimin dibubarkan setelah pembunuhan al-Nuqrashi dan ia mula beroperasi secara rahsia.

September 1948 Folke Bernadotte, wakil khas PBB di Palestin dibunuh oleh militan Zionis.

Syeikh Hasan al-Banna mati dibunuh pada tahun 1949.

Pada tahun 1954 gerakan Ikhwanul Muslimun dibubarkan buat kali kedua di Mesir.

Pada tahun 1959 tertubuhnya organisasi bersenjata ETA di Sepanyol.

Syed Qutub dijalankan hukuman bunuh pada 1966.

1970 banyak serangan dilancarkan oleh organisasi Briged Merah di Itali, manakala beberapa serangan di Jerman pula ditimbulkan oleh kumpulan Red Army Faction atau nama lainnya Baader Meinhof

Pada tahun yang sama juga kumpulan Shining Path diasaskan oleh Abimal eGuzman di Peru sehingga menyebabkan pembunuhan sekitar 25,000 orang pada tahun-tahun berikutnya.

Pada tahun 1973 Perdana Menteri Sepanyol ketika itu Luis Carrero Blanco mati dibunuh oleh kumpulan ETA.

Pada bulan Februari 1979, Khomeini tiba ke Tehran.

Pada tahun 1983 di Homs, Syria, berlaku konforntasi antara kerajaan dan kelompok Islamis lalu mengakibatkan kematian lebih kurung 20000 orang.

Pada tahun 1984 Hizbullah ditubuhkan di Lubnan.

Pada tahun yang sama, tertubuhnya Darul Mujahidin Arab di Peshawar. Manakala pada bulan November, Perdana Menteri India, Indira Gandhi dibunuh oleh puak fanatik dan nationalis Sikh.

Pada Jun 1985, pesawat Air India Boeing 747 meledak di udara akibat letupan bom oleh kumpulan militan Sikh.

Pada Februari- September 1986, beberapa siri serangan pengeboman dilakukan oleh pengganas di Paris lalu mengorbankan 13 mangsa. Serangan dibuat oleh pihak pendukung kerajaan Iran,

Pada tahun 1991 keputusan pilihanraya umum di Algeria dimansuhkan selepas kemenangan Barisan Penyelamat Islam. Hal itu menimbulkan keadaan kacau-bilau termasuklah pembunuhan Mohamed Boudiaf dan kematian puluhan ribu orang awam.

Pada tahun yang sama juga Shapour Bakhtiar dibunuh di Perancis oleh beberapa penyokong kebangitan revolusi Iran.

Kemuudian pembunuhan Perdana Menteri India, Rajiv Gandhi oleh sebuah organisasi militan bergelar Harimau Tamil.

Pada tahun 1995, kumpulan pengganas Aum Shinrikyo serangan gas sarin ke atas kereta api bawah tanah Tokyo oleh. Sepuluh orang maut manakala 500 lagi cedera keracunan.

Pada bulan April tahun yang sama, beberapa ekstremis warga Amerika telah mengebom banggunan pejabat kerajaan persekutuan di bandar Oklohama yang telah mengorbankan 167 nyawa.

Manakala pada bulan Julai, suatu letupan bom terhadap kereta api metro di Paris, dilakukan oleh Kumpulan Islam Bersenjata (GIA) dari Algeria.

Pada bulan November, gerakan M19 telah mengepung Istana Kehakiman Colombia dan membunuh 29 orang hakim dan petugas di mahkamah tersebut.

Pada tahun 2001, serangan tragis pengganas terhadap Menara Berkembar World Trade Centre .

Serangan demi serangan terus menerus berlaku tanpa henti dan senarainya masih panjang.

Jurnal tersebut telah memberikan gambaran kepada kita kepelbagaian latar belakang geografi, agama, dan ideologi yang terlibat dalam aktiviti keganasan. Ia tidak terhad kepada masa atau tempat yang tertentu. Saya memetik petikan tersebut dengan tujuan untuk menjelaskan kepada pembaca bahawa keganasan tidak mengenal agama atau tempat. Islam sama sekali tidak boleh dikatikan dengan keganasan walaupun terdapat segelintir daripada orang Islam pada waktu tertentu terlibat dengan kegiatan tersebut.

Kita harus ingat juga bahawa majoriti besar daripada umat Isllam tidak berpegang dengan idea keganasan bahkan orang Islam sendiri yang menjadi mangsa kepada pelbagai bentuk keganasan.

--------

Artikel ini dipetik daripada magnus opus Shaykh Abdullah Bin Bayyah, Terorisme: Diagnosis dan Penyelesaian. Buku ini boleh didapati di sini.