​Zainal Abidin III Biografi Sultan Yang Adil Dan Alim

RM60.00
10 days
9789834902438
In stock
+

Zainal Abidin III Biografi Sultan Yang Adil Dan Alim

Author: Jelani Harun

Publisher: Dewan Bahasa Pustaka

ISBN: 9789834902438

Year: 2017

Weight: 0.330 kg

Pages: 372 pp

Price: RM60

Zainal Abidin III: Biografi Sultan yang Adil dan Alim memperkenalkan pembaca kepada sosok seorang sultan yang alim lagi adil, yang memerintah Terengganu antara tahun 1881-1918. Dalam konteks Kesultanan Terengganu, Sultan Zainal Abidin III merupakan salah seorang daripada raja yang adil dan alim yang tidak boleh dilupakan oleh rakyat Terengganu, dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Baginda merupakan suatu contoh yang praktikal tentang amalan raja-raja yang adil dan alim yang masih dapat dikesani sejarahnya pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 yang lalu, dengan erti kata baginda menuntut ilmu dunia dan akhirat, dan mengamalkannya dalam pemerintahan kerajaan.

Keadilan dan kealiman baginda sudah begitu tersohor dalam sejarah pembangunan Terengganu sebagai sebuah negeri yang menjunjung kuat institusi raja-raja. Oleh itu, amat wajar sebuah biografi tentang Sultan Zainal Abidin III ditulis dengan sebaik-baiknya untuk tatapan dan penghargaan masyarakat kepada baginda, selaras dengan ketokohan baginda selaku raja yang telah meninggikan martabat institusi Kesultanan Terengganu.

Penulisan Zainal Abidin III: Biografi Sultan yang Adil dan Alim mempunyai cirinya yang tersendiri kerana bertitik-tolak daripada sumber-sumber naskhah atau hasil persuratan yang berhubungan dengan Sultan Zainal Abidin III. Berdasarkan koleksi naskhah yang ada, pelbagai maklumat berkaitan dengan perjalanan hidup Sultan Zainal Abidin III dapat disusuri, termasuk hal-hal yang berhubung dengan latar belakang keluarga, kehidupan masa remaja, pendidikan dan latihan, perwatakan dan pemikiran, ciri-ciri keperibadian, dan seterusnya sumbangan-sumbangan baginda selaku Sultan ke-11 bagi Negeri Terengganu Darul Iman.

Koleksi naskhah tersebut merupakan hasil nukilan para pengarang yang hidup sezaman dengan Sultan Zainal Abidin III, malah ada antaranya merupakan ahli keluarga atau mempunyai pertalian kekerabatan dengan baginda, termasuk juga daripada tiga orang tokoh yang mempunyai hubungan yang sangat akrab dengan baginda, iaitu Syeikh Duyong, Tuk Ku Paloh dan Dato’ Seri Amar Diraja Ngah Muhammad.

Mengingati dan menghargai tokoh-tokoh silam bukan sekadar mengimbau sejarah dan kenangan lampau, tetapi membawa maksud yang lebih jauh daripada itu, mengingati dan menghargai tokoh-tokoh yang telah meletakkan asas ketamadunan Melayu yang masih kekal sehingga hari ini.

Buku ini terdiri daripada empat bahagian dan terbahagi pula kepada 15 bab perbincangan. Bahagian I mengandungi Bab 1 yang akan membincangkan Sejarah dan Asas Penulisan Biografi Sultan Zainal Abidin III, yang mengandungi latar sejarah umum negeri Terengganu pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20. Bab ini turut menggariskan pengenalan ringkas tentang asas-asas utama penulisan biografi Sultan Zainal Abidin lll merangkumi beberapa pandangan konseptual tentang kaedah penulisan biografi dan kepentingan bagi menulis sebuah biografi yang berhubungan dengan Sultan Zainal Abidin III, seorang sultan yang terkenal dengan julukan adil dan alim.

Perbincangan buku seterusnya (Bab 2 hingga Bab 13) berorientasikan analisis tekstual khusus terhadap beberapa buah naskhah pilihan yang berkaitan dengan Sultan Zainal Abidin III. Setiap analisis naskhah akan berpusatkan tema yang tertentu yang berhubungan secara langsung dengan sejarah hidup atau ketokohan Sultan Zainal Abidin III selaku raja yang adil dan alim. Bagi memperlihatkan suatu urutan perbincangan mengikut kronologi masa, perbincangan naskhah telah dibahagikan kepada bahagianbahagian tertentu yang berhubungan dengan fasa-fasa perjalanan hidup Sultan Zainal Abidin III.

Bahagian I juga akan membincangkan “Biografi Terawal” yang mengandungi Bab 2 dengan pusat perbincangan kepada Syair Tawarikh Zainal Abidin Yang Ketiga (Biografi Terawal daripada Tengku Dalam Kalthum). Sehingga kini, Syair Tawarikh Zainal Abidin Yang Ketiga nukilan Tengku Dalam Kalthum binti Tengku Wok Khazaki pada tahun 1936 yang lalu dapat dianggap sebagai sebuah penulisan biografi yang terawal tentang Sultan Zainal Abidin III.

Kekuatan dan keistimewaan syair begitu terserlah sama ada dari sudut isi atau seni penulisannya sehingga boleh diangkat sebagai sebuah Karya Agung yang lahir daripada tradisi persuratan istana Terengganu.

Bahagian II akan menjurus fasa “16 Tahun yang Pertama” dalam sejarah hidup Sultan Zainal Abidin III yang meliputi tahun 1865-1881. Bab 3 akan mengkhusus kepada naskhah Kitab Nasihat Raja-Raja (Nasihat dan Kias Ibarat daripada Syeikh Duyong) sementara Bab 4 kepada Sahibul Kitab Sultan Zainal Abidin (Pembentukan Nilai Murni Keperibadian). Kedua-dua buah karya dikarang oleh pengarang istana sewaktu Sultan Zainal Abidin III baru menaiki takhta kerajaan dan menjadi sebahagian daripada bahan pendidikan awal baginda. Besar kemungkinannya, pengarang yang dimaksudkan ialah Syeikh Duyong yang merupakan guru agama dan penasihat kepada Sultan Zainal Abidin III.

Bahagian III pula memusatkan perhatian kepada “19 Tahun yang Seterusnya” dalam kehidupan Sultan Zainal Abidin III yang meliputi tahun 1881-1900. Ketika ini, baginda sudah pun menjadi Sultan Terengganu dan mengalami pelbagai cabaran dalam fasa awal pemerintahan baginda. Empat bab diperuntukkan di dalam bahagian ini yang didahului dengan Bab 5 tentang Trengganu Court Diary (Catatan Perkahwinan Diraja Sultan Zainal Abidin III). Perkahwinan Sultan Zainal Abidin III dengan Tengku Long dari Pahang telah diberi gambaran yang gilang-gemilang oleh penulis diari istana Terengganu. Naskhah diari tersebut ada hubungannya pula dengan Tengku Ampuan Mariam, seorang permaisuri, pengarang dan pencinta seni dan warisan Melayu yang sangat terkenal di Negeri Terengganu.

Bab 6 berkaitan dengan Surat Keterangan Yang Dimaterikan Chap (Menangani Pengaruh Awal Inggeris), sementara Bab 7 akan membicarakan Surat-surat Tuk Ku Paloh (Ikatan Umara dengan Ulama). Kedua-dua bab akan memberikan maklumat lebih terperinci tentang kebijaksanaan Sultan Zainal Abidin III dalam mentadbir dan menguruskan pemerintahan kerajaan, termasuk dengan bantuan para pembesar dan alim ulama. Perbincangan yang lebih khusus akan diberikan kepada Tuk Ku Paloh sebagai salah seorang guru dan penasihat yang cukup akrab dengan Sultan Zainal Abidin III.

Penulisan biografi Sultan Zainal Abidin III akan diteruskan lagi dengan Bab 8 yang berasaskan Adat Istiadat Negeri Terengganu (Kearifan Adat Istiadat di Istana Maziah). Bab ini menyerlahkan keprihatinan Sultan Zainal Abidin III dalam pemeliharaan dan pengukuhan amalan adat istiadat di Istana Maziah selaras dengan sifat kearifan baginda terhadap warisan budaya bangsa.

Bahagian IV akan memasuki tempoh “18 Tahun Terakhir” dalam sejarah kehidupan Sultan Zainal Abidin III, suatu tempoh masa yang lebih kritikal terutamanya dalam hubungan baginda dengan pihak Inggeris, yang meliputi tahun 1900-1918. Bahagian ini mengandungi enam bab. Perbincangan dimulai dengan Bab 9 tentang Istiadat Nobat Sultan (Warisan Riau-Lingga di Istana Terengganu) dan kemudian diikuti dengan Bab 10 tentang Surat Yang Amat Tulus Ikhlas (Dato’ Seri Amar Diraja dan Perihal Hubungan Luar).

Seterusnya Bab 11 tentang peranan Sultan Zainal Abidin lll dalam menghadapi kemasukan pengaruh Inggeris di Terengganu melalui pembentukan Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu (Pembaharuan Waad dan Politik Kenegaraan Melayu-Islam). Bab 12 pula tentang naskhah “Adat Orang Berhutang Tanggung Kepala di Terengganu” (Berakhirnya Sebuah Amalan Perhambaan) sementara Bab 13 akan memusatkan kepada perbincangan Syair Tuan Hampris (Mengimbangi Wakil Inggeris di Terengganu).

Bab 14 akan membicarakan peristiwa kemangkatan Sultan Zainal Abidin III yang terakam dalam sebuah berita berjudul Perkabungan Negeri Terengganu dan jajahan Takluknya (Berita Kemangkatan Sultan). Berita yang termuat dalam majalah “Pengasuh” (Bil. 11) keluaran 4 Disember 1918 tersebut adalah antara yang terawal merakam peristiwa kegeringan dan kemangkatan Sultan Zainal Abidin III pada 25 November 1918. Perbincangan akan turut memanfaatkan penelitian penulis ke kawasan Maqam Diraja Masjid Abidin, kawasan pemakaman raja-raja Terengganu yang terletak di pekarangan Masjid Abidin, Kuala Terengganu sebagai tempat bersemadinya Sultan Zainal Abidin III.

1) 'Sign in' di terlebih dahulu. Klik di sini.

2) Pilih buku-buku pilihan dengan klik 'Add to Cart'

3) Klik 'Checkout' untuk meneruskan pembelian.

4) Lengkapkan maklumat & alamat penghantaran.

5) Pilih kaedah penghantaran & bayaran yang sesuai.

6) Klik "Submit My Order".

Sekiranya ada kesulitan untuk membeli secara online di website, mohon hubungi kami dengan cara berikut:

HUBUNGI KAMI

Klik butang di atas untuk berkomunikasi dengan kami.

Kami menggunakan perkhidmatan Pos Laju dan J&T Express untuk penghantaran ke seluruh negara.

Tempoh masa penghantaran adalah 2 - 5 hari bekerja.

1. Bayaran yang dibuat & diemailkan bukti bayaran sebelum 10 AM (hari bekerja), akan terus diproses & dihantar pada hari yang sama.

2. Order atau bayaran yang dibuat selepas pukul 10 AM, akan diproses & dihantar pada hari bekerja berikutnya.

3. Pemprosesan order dibuat pada hari Isnin - Sabtu & penghantaran dilakukan pada hari bekerja Isnin - Jumaat.

4. Sekiranya syarikat courier cuti, order tetap akan diproses, tetapi hanya akan dihantar apabila syarikat courier mula beroperasi.

5. Tracking number akan dihantar terus ke email anda.

6. Kami akan maklumkan lebih awal jika ada perubahan waktu operasi semasa musim perayaan.


JAMINAN KAMI

ORDER DIPROSES & DIHANTAR SETIAP HARI

Bayar SEBELUM 10 AM, order akan diproses & dihantar pada hari yang sama.

Bayar SELEPAS 10 AM, order akan diproses & dihantar pada esok hari.

*ISNIN - JUMAAT (hari bekerja sahaja). Tiada penghantaran dibuat pada hari Sabtu, Ahad & cuti umum.

HUBUNGI KAMI